Badminton Terbuka Malaysia: Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua
Bernama
Jun 30, 2022
Badminton Terbuka Malaysia: Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua
Pemain perseorangan lelaki Indonesia Shesar Hiren Rhustavito menewaskan lawannya dari Malaysia, Lee Zii Jia pada perlawanan pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua di Terbuka Malaysia 2022, selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung dengan sokongan padu lebih 5,000 penyokong di Axiata Arena, Zii Jia selaku pemain di ranking kelima dunia terdahulu dilaungkan amaran awal apabila tewas 19-21 kepada pemain berusia 28 tahun itu pada set pertama.
Zii Jia, 24, bangkit pada set kedua menerusi kemenangan 21-19, namun kecundang 16-21 pada set penentuan selepas pertarungan melebihi sejam.
Kemenangan itu turut membantu Rhustavito menyamakan rekod pertemuan dengan juara All England 2021 itu kepada 4-4, dengan kemenangan terakhirnya pada Terbuka Taiwan 2019, manakala pertemuan di Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand tahun ini berpihak kepada pemain Malaysia.
Kekalahan itu juga menyaksikan penyokong badminton tanah air terlepas peluang menonton pertembungan suku akhir epik di antara Zii Jia dan Kento Momota esok (Jumaat).