Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama, budaya
ASTRO AWANI
Jun 9, 2022
Sultan Selangor titah menteri hadir Festival Bon Odori, fahami beza agama, budaya
Sultan Selangor ketika berangkat melancarkan Festival Bon Odori pada 2016, diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika itu, Dr Makio Miyagawa. - Foto ihsan Kedutaan Jepun di Malaysia
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke program Bon Odori supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.
Baginda juga tidak mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan mengelirukan dan tidak tepat.
Perbuatan itu juga boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut, titahnya dalam satu kenyataan hari ini.
"Baginda tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
"Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.
"Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat," titahnya.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.
Media sebelum ini melaporkan, Idris menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Sultan Selangor berpandangan Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun adalah hanya satu perayaan kebudayaan.
Titah baginda, di Malaysia, khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
"Perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Negeri Selangor.
"Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
"Sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan.
"Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu," titah baginda.
Sultan Selangor bertitah baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia.
Menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir, tambahnya.
Pada masa sama, baginda menitahkan pihak JAIS dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan ia tidak merosakkan akidah umat Islam.
Tegas baginda, apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama.
Namun seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.
Sultan Selangor turut berharap supaya rakyat berbilang bangsa di negeri ini akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibbah dan harmoni.