Isham Jalil dilantik ahli MKT UMNO, gantikan Tajuddin Abd Rahman
ASTRO AWANI
Firdaus Azil
Jun 24, 2022
Isham Jalil dilantik ahli MKT UMNO, gantikan Tajuddin Abd Rahman
Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Hizatul Isham Abdul Jalil, atau lebih dikenali sebagai Isham Jalil, telah mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu. - Foto/FB Mohd Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Hizatul Isham Abdul Jalil, atau lebih dikenali sebagai Isham Jalil, telah mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu.
Media difahamkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik Isham bagi menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang telah digugurkan dari MKT baru-baru ini.
Ahli MKT, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi telah berkongsikan gambar Isham mengangkat sumpah dalam mesyuarat MKT di Menara Dato' Onn malam ini.
Pada Khamis, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai berkata, Tajuddin telah digugurkan dari MKT, namun tiada alasan pemecatan diberikan.
Media Free Malaysia Today mendakwa tindakan tersebut dilakukan sebagai ‘mesej’ kepada mana-mana ahli MKT yang berpihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO.
Sementara itu, Ahmad Zahid awal hari ini memberitahu media, Tajuddin sendiri mengetahui sebab beliau digugurkan dari MKT.
"Saya fikir tanyalah dia sendiri, itu yang sebaiknya. Tidak adil jika saya beritahu umum, tentunya dia tahu apa yang dia lakukan.
"Apa kenyataan yang telah dia buat, apakah bahan-bahan ucapan atau ceramah-ceramah atau bahan-bahan yang dia nyatakan dalam mesyuarat tertutup, tanya dia sendiri," kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair Aspirasi anjuran Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.