Didakwa Lakukan Ritual Tolak Banjir, Raja Bomoh Mahu Fail Saman RM300 Juta Kepada…
Baru-baru ini tular dimedia sosial apabila individu bergelar Raja Bomoh bersama seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Raja Zaleha’ melakukan ritual tepung tawar bagi menolak kejadian banjir berlaku.
Bagaimanapun, lelaki berusia 71 tahun itu tampil membuat laporan polis bagi menafikan upacara menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS Teluk Intan itu sebagai khurafat dan syirik.
Difahamkan, laporan itu dibuat pada jam 12.30 tengah malam pada Rabu di Balai Polis Teluk Intan.
Menerusi video berdurasi 26 minit 18 saat yang dikongsikan dilaman Facebook Raja Bomoh atau Ibrahim Mat Zin, beliau menjelaskan hanya mahu menyelamatkan tapak perkuburan supaya tidak dinaiki banjir.
“Saya buat untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makam diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk Intan. Dan bukan tujuan saya untuk mencari publisiti,” katanya.
Fail saman RM300 juta
Tambahnya lagi, beliau akan mengemukakan saman malu berjumlah RM300 juta kepada pihak yang mendakwa beliau melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
“Jabatan berkenaan tiba-tiba menjatuhkan hukum syirik dan khurafat sedangkan perlu ada budi bicara dalam soal berkenaan kerana yang salah boleh diperbetulkan.
“Justeru itu, saya telah berbincang dengan peguam dan akan saman RM300 juta mana-mana jabatan yang kata saya syirik,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri mengesahkan menerima laporan berkenaan dan ia telah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk sisatan lanjut.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.