Wan Aishah Wan Ariffin, 56 |
"Ya Allah mental tak kuat hari ini" - Aishah
Astro Awani
1/9/2021
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Aishah yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang selepas dijangkiti COVID-19 meluahkan situasinya berhadapan saat-saat yang mendebarkan.
Menurut penyanyi yang masyhur dengan lagu Janji Manismu itu, melihat pesakit-pesakit lain turut dirawat di wad yang sama menyebabkan mentalnya tidak kuat.
“Ya Allah mental tak kuat hari ini bila melihat patient depan I dibawak naik untuk diintubate.
“Pagi tadi O2 level I 98, mereka cuba nak buka O2 tapi bila ke tandas dan balik ke katil O2 level terus turun mendadak ke 88, terpaksa pakai O2 semula baru naik semula ke 95,” tulis Aishah dalam hantarannya di Instagram pada Rabu.
Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 56, juga memohon kenalan-kenalannya agar mendoakan beliau agar tidak seperti pesakit-pesakit lain.
“Ya Allah teman-teman tolong doakan I tak sampai ke situ kena intubate, I takut, I masih banyak tanggungjawab pada family yang belum selesai, anak-anak I banyak lagi hal yang tak selesai.
“Sangat mengharapkan doa kawan-kawan, ampunkan dosa-dosa I sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” pinta Aishah lagi.
Pada Isnin lalu, Aishah berkongsi berita yang beliau dijangkiti COVID-19 dan mengalami symptom seperti demam panas sementara para oksigennya tidak berada di paras normal.
Bagaimanapun, suami dan anak-anaknya tidak dijangkiti virus berkenaan.
Sementara itu, dalam kiriman mesej menerusi WhatsApp kepada Astro AWANI, penghibur yang juga juara program Gegar Vaganza musim keempat terbitan Astro itu memohon agar mendoakan agar beliau segera diberi kesembuhan daripada penyakit ini.
Sumber: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-hiburan/ya-allah-mental-tak-kuat-hari-ini-aishah-317236