Jimnajir Bin Annor |
ACP Peter Umbuas dan dua pegawainya menunjukkan gambar tiga individu yang kini sedang diburu menerusi Op Tutup dan Op Kesan di sekitar Tawau. - Astro AWANI |
Astro Awani
5/9/2021
TAWAU: Tiga lelaki berumur antara 23 hingga 34 tahun dikesan melarikan diri dari Pusat Kuarantin Pesakit COVID-19 (PKRC) Dewan Arena, Tawau pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, ketiga-tiga tahanan berkenaan bertindak mengopek penghadang besi tingkap tandas di PKRC tersebut untuk keluar melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, dua daripadanya merupakan banduan yang telah dijatuhi hukuman penjara manakala seorang lagi sedang dalam tahanan reman untuk menunggu perbicaraan mahkamah.
Kesemua mereka juga adalah pesakit COVID-19 yang sedang dikuarantin dan diasingkan dari tahanan lain.
"Ada yang telah dijatuhi hukuman, jadi kategori mereka ini adalah banduan, ada juga kategori reman sementara dipenjara di bawah seksyen 259 Kanun Peraturan Jenayah dan juga tahanan tahanan di bawah seksyen 117 Kanun Peraturan Jenayah juga sedang disiasat oleh PDRM," ujar Peter.
Berikutan kejadian itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Tutup dan Op Kesan untuk mengesan dan menangkap semula banduan dan tahanan yang telah melarikan diri.
"Polis Tawau telah melancarkan Op Tutup disusuli Op Kesan. Antara Op Tutup yang kita adakan adalah seperti yang mana kita buat sekarang iaitu mengadakan sekatan jalan raya termasuk juga sekatan jalan raya yang sedia ada di Jambatan Putih di checkpoint dan begitu juga di kawasan ESSCom termasuk juga CIQ," ujarnya.
Tambahnya, operasi turut meliputi jalan darat dan di perairan Tawau.
Bagaimanapun, polis percaya ketiga-tiga tahanan tersebut masih berada di sekitar daerah Tawau dan operasi untuk mengesan mereka sedang giat dilakukan.
Sehubungan itu, Peter turut menggesa penduduk Tawau agar bekerjasama dan melaporkan segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sekiranya mengetahui kehadiran tahan tersebut.
Sumber: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dua-banduan-seorang-tahanan-polis-positif-covid19-lari-dari-pkrc-318037
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dua-banduan-seorang-tahanan-polis-positif-covid19-lari-dari-pkrc-318037