Translate

07 December 2020

Mohd Sukari Ketua Pengarah Baharu Jabatan Penerangan (JaPEN)

                     
Mohd Sukari Ketua Pengarah Baharu JaPEN

BERNAMA
07/12/2020


PUTRAJAYA, 7 Dis -- Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan yang baharu berkuat kuasa hari ini, umum Jabatan Penerangan (JaPEN).

Mohd Sukari, 59, menggantikan Roselindawati Abdul Rahman yang bersara wajib pada 17 Nov lepas.

Anak kelahiran Kedah itu memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penerangan di Ibu Pejabat Jabatan Penerangan pada 1987 dan pada Jun 1989, beliau ditempatkan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos Malaysia.

Mohd Sukari juga diberikan kepercayaan menerajui JaPEN Negeri Kedah sebagai Pengarah Penerangan Negeri pada 2003 dan Pengarah Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat pada 2009.

JaPEN dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan komunikasi strategik, perhubungan awam dan pengurusan pentadbiran, melayakkan Mohd Sukari dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pada Sept 2012.

“Kepakaran serta pengalaman beliau merupakan aset penting kepada JaPEN,” menurut JaPEN serta menambah pada Okt 2014 Mohd Sukari dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik), Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) pada 2018 dan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) pada 2019.

Pemegang Sarjana Muda dalam bidang sastera di Universiti Sains Malaysia, Mohd Sukari juga menyertai beberapa siri kursus profesional jangka pendek dalam bidang komunikasi di Singapura pada 1992, seterusnya dalam bidang pengurusan kewangan dan belanjawan di Pitsburgh University, Pennsylvania pada 1995, serta bidang pengurusan dan kepimpinan strategik di dalam dan luar negara.

Selain kecemerlangan dalam kerjaya, Mohd Sukari turut melibatkan diri dalam beberapa persatuan profesional antaranya Ahli Lembaga Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dan Ahli Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED