Translate

28 December 2020

Isu Penyeludupan Daging Di Luar Bidang Kuasa Jakim

                   



 

Isu penyeludupan daging di luar bidang kuasa Jakim

BERNAMA
28/12/2020 


KUALA LUMPUR, 28 Dis -- Isu penyeludupan daging yang hangat diperkatakan sekarang adalah di luar bidang kuasa dan tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata, peranan pasukan Jakim adalah memeriksa sama ada sesebuah rumah penyembelihan di luar negara, mematuhi hukum syarak dari aspek proses penyembelihan sehinggalah daging itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bebas cemar.

“Permit mengimport daging dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). Apabila produk itu sampai ke pintu masuk negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melihat dari segi cukai. Selepas produk daging itu berada di gudang di dalam negara ia adalah tertakluk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” kata Sirajuddin.

Beliau berkata demikian dalam segmen khas ‘Tanya Jakim bertajuk SOP Sijil Halal: Di Mana Silapnya?’, yang disiarkan secara dalam talian di akaun laman sosial Facebook Jakim hari ini.

Sirajuddin berkata Jakim menyedari banyak pihak mempersoalkan jabatan itu, apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu penyeludupan daging import, yang didedahkan media baru-baru ini dan tidak mendedahkan senarai nama syarikat atau jenama yang terlibat.

Menjawab persoalan itu, beliau berkata pihak berkuasa seperti KPDNHEP sedang menjalankan siasatan, mengenai perkara tersebut dan akan mendedahkan hasilnya apabila siastan kes berkenaan selesai.

“Biarlah siasatan dijalankan dengan cara terbaik tanpa gangguan. Berikan ruang agensi yang berkaitan untuk menyiasat. Maklum balas (Jakim) akan menimbulkan suasana tidak baik, kalau (Jakim) keluarkan kenyataan akan menjejaskan siasatan,” katanya.

Sejak isu tersebut timbul, banyak pihak mempersoalkan Jakim, kerana mereka menganggap agensi itu bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses membawa masuk daging dari luar negara.

Ditanya sama ada benar atau tidak aktiviti penyeludupan daging itu sudah 40 tahun berlaku, beliau berkata perkara itu tidak dapat disahkan atau dinafikannya, kerana ia merupakan dakwaan dari pihak industri dan bukannya agensi atau badan penguat kuasa.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED