Translate

25 December 2020

Covid-19 Malaysia 25 Dec: New Cases- 1,247 Total Cases- 101,565 | Active Cases- 18,576 | New Death- 3


Kenyataan Akhbar KPK 25 Disember 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,441 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 82,540 kes (81.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Pada hari ini, 25 Disember 2020, negara kita telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 1,247 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 101,565 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 18,576 kes.  Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua (2) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,245 kes.

Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 461 kes (37.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 309 kes (67.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 225 kes (18.0 peratus) dan Johor sebanyak 205 kes (16.4 peratus).

Sebanyak 211 kes (16.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86 kes), Kluster Tembok (8 kes), dan Kluster Pompod (4 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

Sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 449 kes (0.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

No. KematianNo. KesNegeriJantina (warganegara)Umur (tahun)Hospital/ Tempat KematianLatar Belakang
44786863SabahLelaki (WN)76Hospital Lahad DatuPenyakit Chronic Obstructive Airway Disease dan strok
44899473SelangorPerempuan (WN)64Hospital Sungai BulohPenyakit kencing manis, darah tinggi,  dan jantung
44998986SabahLelaki (BWN)65Jenazah dibawa ke Hospital Duchess of Kent, SandakanPenyakit darah tinggi dan gout

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN bukan warganegara.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Sehingga 25 Disember 2020, terdapat sebanyak 472 kluster telah dilaporkan termasuk empat (4) kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 268 kluster termasuk enam (6) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tanamera, Kluster Jalan Kalabakan, Kluster Seri Terapi, Kluster Seri Pasir, Kluster Astaka dan Kluster Tembaga. Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 204  kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86 kes), dan Kluster Puncak Galaksi (51 kes).

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat empat (4) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • KLUSTER  CASSIA DIAMOND

Kluster ini melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak di Selangor serta daerah Barat Daya di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-99203) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 25 Disember 2020, sejumlah 76 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER POMPOD

Kluster ini melibatkan daerah Kota Belud dan Kudat di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-82544) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 25 Disember 2020, sejumlah 216 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER TAPAK BINA KIARA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 21 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 25 Disember 2020, sejumlah 372 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER  TAPAK BINA PERKASA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 22 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 25 Disember 2020, sejumlah 451 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

TINJAUAN AMALAN NORMA BAHARU KKM

Untuk makluman, KKM telah menjalankan tinjauan amalan norma baharu secara atas talian daripada 25 hingga 30 November 2020 yang melibatkan 36,841 responden. Objektif tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti amalan norma baharu yang diamalkan dalam kalangan komuniti dan mengenal pasti pemerkasaan komuniti dalam menegur ahli keluarga, rakan-rakan dan individu-individu lain untuk mengamalkan norma baharu di Malaysia.

Hasil tinjauan mendapati majoriti responden sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi pencegahan COVID-19, iaitu memakai pelitup muka (93.3 peratus), menjaga jarak fizikal (89.6 peratus), dan mencuci tangan dengan air serta sabun atau hand sanitizer (89.7%).

Hasil tinjauan juga mendapati 93.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk memakai pelitup muka; 90.1 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk menjaga jarak fizikal; dan 90.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Manakala berkaitan dengan teguran kepada rakan-rakan pula, didapati 82.2 peratus responden menyatakan mereka berani menegur rakan-rakan mereka untuk memakai pelitup muka; 79.4 peratus responden berani menegur rakan-rakan untuk menjaga jarak fizikal; dan 79.2 peratus responden berani menegur rakan-rakan untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Walau bagaimanapun, sekiranya teguran tersebut melibatkan orang lain, hanya 57.3 peratus responden berani menegur orang lain untuk memakai pelitup muka; 59.6 peratus responden berani menegur orang lain untuk menjaga jarak fizikal; dan 56.7 peratus responden berani menegur orang lain untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Hasil tinjauan ini merupakan satu dapatan yang amat positif dan memberangsangkan. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai kawalan kendiri yang tinggi. Segala perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia merupakan langkah pertama dalam segala kejayaan termasuklah kejayaan dalam memerangi pandemik COVID-19. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membendung penularan COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 Disember 2020 @ 5.00 petang.

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 25 DISEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
SABAH22535,640
SELANGOR46128,170
WP KUALA LUMPUR14011,564
NEGERI SEMBILAN897,424
JOHOR2054,026
PULAU PINANG253,106
PERAK552,994
KEDAH02,914
WP LABUAN8 (1)1,608
SARAWAK3 (1)1,099
PAHANG11975
MELAKA14927
KELANTAN4521
TERENGGANU0296
WP PUTRAJAYA7256
PERLIS045
JUMLAH KESELURUHAN1,247 (2)101,565

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Perincian 1,247 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 25 Disember 2020 adalah seperti berikut: 

  • Selangor: 461 kes 
    • 97 kes daripada kluster-kluster, termasuk tujuh (7) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Cassia Diamond;
    • 212 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 152 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sabah: 225 kes 
    • 38 kes daripada kluster-kluster termasuk empat (4) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Pompod;
    • 125 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 62 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: 205 kes
    • 153 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 37 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 15 kes daripada lain-lain saringan COVID-19. 
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 140 kes  
    • 57 kes daripada kluster-kluster, termasuk 20 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Kiara dan Kluster Tapak Bina Perkasa;
    • 33 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 50 kes daripada lain-lain saringan COVID-19. 
  • Negeri Sembilan: 89 kes
    • 74 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 11 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Empat (4) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 55 kes
    • 54 kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Satu (1) kes lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: 25 kes 
    • Lapan (8) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 10 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tujuh (7) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Melaka : 14 kes
    • Dua (2) kes daripada kluster sedia ada;
    • Lima (5) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tujuh (7) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pahang: 11 kes
    • Lapan (8) kes daripada kluster sedia ada;
    • Dua (2) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: Lapan (8) kes
    • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada;
    • Tiga (3) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Satu (1) kes import dari luar negara; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Tujuh (7) kes
    • Empat (4) kes daripada kluster-kluster sedia ada; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan:  Empat (4) kes
    • Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sarawak: Tiga (3) kes
    • Satu (1) kes import dari luar negara; dan
    • Dua (2) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED