Translate

24 December 2020

Bayi 10 Hari Antara 46 Warga Asing Ditahan Di rumah Kongsi Kampung Semaut


Tiga bayi antara 46 ditahan imigresen di Kampung Semaut

BERNAMA
23/12/2020

KUANTAN, 23 Dis -- Tiga bayi berusia lingkungan 10 hari hingga tiga bulan antara 46 warga Indonesia yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Pahang hari ini di petempatan rumah kongsi Kampung Semaut di Bentong, kira-kira 190 kilometer dari sini.

Pengarah Imigresen negeri itu Muhammad Hatta Kassim berkata mereka yang turut ditahan ialah 19 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur empat dan tujuh tahun.

"Operasi dilakukan selama tiga jam mulai 9 pagi membabitkan kira-kira 90 pintu rumah kongsi di Kampung Semaut selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan itu berakhir semalam," katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa yang dibenarkan.

Semua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk tindakan selanjutnya.

Muhammad Hatta berkata pemilik tanah yang menempatkan rumah kongsi itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 55 E akta sama kerana membenarkan pendatang tanpa izin menetap di kawasan tersebut.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 12 bulan atau denda minimum RM5,000 maksimum RM30,000 atau atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang, dan bagi kesalahan kedua, penjara dua tahun atau denda minimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED