Dua lelaki mengaku tidak bersalah rogol remaja bawah umur
Astro Awani
24/12/20
SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah adalah tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 11 Disember lalu.
Tertuduh, Muhamaad Saiful Nizam Jamaludin, 19 tahun, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 14 tahun di sebuah rumah di Tanjung Dawai, Sungai Petani sekitar jam 9 malam pada 11 Disember 2020.
Sehubungan itu Saiful Nizam didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara dan sebatan.
Hakim Azman Abu Hassan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM 10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali mulai 25 Januari 2021.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwaraya Galvin Loo Wei Ming dan tertuduh diwakili peguam K.Sobini.
Sementara itu, di mahkamah Majistret Sungai Petani, seorang remaja berusia 17 tahun membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.
Majistret kemudian membenarkan remaja yang tidak lagi bersekolah itu dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di Balai Polis berdekatan dua kali sebulan bermula 7 Januari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfadly Hassan dan tertuduh diwakili peguam Fahmi Izuddin Jefri.
Sementara itu kedua-dua mahkamah menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes keatas kedua-dua remaja berkenaan bagi menunggu laporan perubatan dan akhlak.
Kedua-dua mereka juga tidak dibenarkan menghubungi atau mendekati mangsa serta ahli keluarga mangsa.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: