Translate

05 December 2017

TMJ mencabar bekas pengurus JDT, Mario Gomez untuk mengheretnya ke mahkamah.

“Bawa Saya Ke Mahkamah, Saya Tidak Pernah Merasa Ke Mahkamah”, TMJ Cabar Gomez

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar bekas pengendali pasukan tersebut, Mario Gomez untuk mengheretnya ke mahkamah.
Tunku Ismail dalam kenyataan di laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers berkata beliau ‘teringin’ untuk hadir ke mahkamah kerana tidak pernah merasai pengalaman tersebut sebelum ini.
“Teruskan usaha, Mario... $$$, sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin merasainya,” kata Tunku Ismail, hari ini.
Tunku Ismail yang turut menggambarkan Gomez sebagai seorang ‘mata duitan’ berkata demikian dipercayai berkait dengan dakwaan Gomez bahawa kelab bola sepak itu tidak menyelesaikan tunggakan gaji yang sepatutnya diterima warga Argentina itu.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail dalam kenyataan berasingan yang dimuat naik di entri sama menyifatkan perkara itu sebagai tidak masuk akal kerana mustahil bagi kelab bola sepak itu untuk tidak mampu membayar jumlah tuntutan yang dibuat Gomez berjumlah 60,000 dolar (RM243, 660).
“Saya, Tunku Mahkota Johor, tidak perlu saya nyatakan berapa banyak wang yang saya ada. Masuk akal atau tidak 60,000 (dolar) tidak mampu saya bayar?,” kata Tunku Ismail secara sinis sambil membuat ‘cc’ kepada ‘laman-laman’ yang obses kepada JDT.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT Alistair Edwards berkata, dakwaan yang dibuat Gomez kononnya JDT berhutang pembayaran gaji terhadapnya adalah tidak benar.
Katanya, pihak pengurusan kelab cuba untuk tidak menghebohkan perkara itu kepada umum, namun disebabkan Gomez telah memberikan kenyataan secara terbuka, maka pihaknya tidak ada pilihan lain selain melakukan perkara sama.
“Faktanya ialah sebahagian daripada kontrak Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya, Raul Longhi.
“Gomez pada mulanya membayar jumlah ini secara terus kepada Longhi dan kemudian beliau meminta setiausaha kelab kami untuk membuat pembayaran terus kepada Longhi.
“Sejak 2015 JDT telah membayar komponen gaji ini secara terus kepada Longhi daripada gaji Gomez mengikut permintaan khususnya selaras dengan kewajipan dalam kontrak Gomez,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alistair menambah Gomez turut membuat kenyataan palsu bahawa pihak JDT tidak menjawab suratnya.
“Kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab dengan sewajarnya. Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan karier anda di Indonesia,” tegasnya.
Memetik laporan sebuah portal, Gomez, yang kini pengurus bagi kelab Persib Bandung, Indonesia memberitahu beliau dalam proses memgambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kelab JDT, Tunku Ismail.
"Kita akan jumpa satu sama lain di mahkamah nanti. Mereka tidak mahu membayar gaji saya. Peguam saya dan saya dalam usaha membawa kes ini kepada Fifa," katanya.
- mD

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED