Aqasha Jawab Tuduhan Tak Promosi Drama
Pelakon Aqasha menjelaskan drama lakonannya, Misi Laksa dan Laksam yang sekarang ditayangkan di TV3 sebenarnya adalah siaran ulangan kerana ia terlebih dahulu disiarkan menerusi platform digital pada awal tahun ini.
Justeru dia merasakan bukan lagi tanggungjawabnya untuk mempromosikan lagi drama tersebut kerana sudah melakukan perkara tersebut sebelum ini.
"Itu sebenarnya drama lama dan sebagai pelakon saya sudah membantu mempromosikan projek lakonan saya di laman sosial.
"Misi Laksa dan Laksam adalah projek melibatkan saya sebagai pelakon dan sudah tentu saya war-warkan kepada peminat.
"Apabila ia ditayangkan di televisyen saya terus dituduh tidak promosi. Jujurnya ia bukan lagi tanggungjawab saya," katanya seperti yang dilaporkan mStar online.
Aqasha berkata demikian sekali gus menyangkal dakwaan tidak pernah membantu mempromosikan drama bersiri itu di laman sosial miliknya.
Terdahulu, penerbit drama, Fadzil Teh memuat naik status di Facebook menyatakan raa kecewa terhaadap sikap pelakon drama itu yang tidak membantu mempromosikan drama itu di laman sosial mereka.
Fadzil dalam status sama memberitahu enggan lagi bekerjasama dengan pelakon itu kerana tidak mahu menyokong produk lakonannya dan hanya mahu bayaran mahal.
Walaupun tidak menyatakan secara tepat pelakon dimaksudkan, tindakan Aqasha memuat naik status di Facebook seolah-olah menjawab isu dibangkitkan Fadzil.
"Bukan produser je boleh ada kontrak. Pelakon pun boleh buat. Kau bayar aku lambat sehari, aku charge 5 peratus interest.
"Baru dia tahu menggelupur nak cepat. Time offer, call macam esok kiamat. Time bayar, dia yang kiamat," tulisnya.
Dalam pada itu, Aqasha berkata, tidak adil dia terus dipersalahkan kerana tugas mempromosikan produk tidak pernah dinyatakan dalam kontrak tawaran lakonan.
Tambahnya lagi, drama tersebut bukan produk miliknya sekaligus tanggungjawab promosi bukan dibahunya dan apa dilakukan adalah atas dasar membantu.