Translate

07 January 2025

Kepengerusian Malaysia mampu jadikan ASEAN blok lebih kuat - PM Singapura



Kepengerusian Malaysia mampu jadikan ASEAN blok lebih kuat - PM Singapura

Bernama

07/01/2025


Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ketika sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA


PUTRAJAYA: Hubungan bilateral kukuh antara Singapura dan Malaysia membentuk asas penting kepada ASEAN yang lebih kuat dan bersatu, yang mampu mengemudi persaingan geopolitik yang semakin sengit, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 hari ini, Wong menggariskan kepentingan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini untuk memperkukuh kerjasama serantau atas dasar yang saling menguntungkan.

"Singapura menyokong sepenuhnya Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. Kami berpendapat ia sangat penting terutamanya sekarang untuk ASEAN menjadi kuat, bersepadu dan bersatu, kerana persaingan yang lebih sengit yang kita hadapi bukan dalam ASEAN tetapi dari luar rantau.

"Semua orang sedang cuba mengendalikan projek-projek besar dalam dunia hari ini, iaitu ekonomi-ekonomi besar sedang bercakap mengenai penempatan semula (reshoring), penempatan kembali ke negara asal (on-shoring), penempatan ke negara berdekatan (near-shoring). Mereka mahu projek-projek utama lebih dekat dengan ekonomi tempatan. Jadi ASEAN perlu bekerjasama, melihat cara yang mana kita boleh meningkatkan tawaran nilai kita dan bersaing bersama," katanya.

Wong menekankan kepentingan projek-projek kolaboratif yang sedang berjalan, termasuk Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) sebagai langkah penting ke arah ASEAN bersepadu.

"Apabila berkaitan ASEAN, kita bercakap mengenai bukan sahaja lebih banyak hubungan perdagangan dan pelaburan, tetapi pautan infrastruktur termasuk Grid Kuasa ASEAN. Ini semua projek yang baik yang akan disokong Singapura dan kita harap di bawah kepimpinan Malaysia, kita boleh mencapai kemajuan yang baik bagi projek-projek ini," katanya.

Anwar yang senada dengan Wong, menekankan keperluan untuk negara-negara ASEAN bersatu dalam mendepani cabaran politik dan ekonomi antarabangsa yang sukar dijangka. Beliau turut menyarankan kerjasama dua hala dan serantau yang lebih mendalam bagi memanfaatkan kekuatan bersama.

"Singapura mempunyai kekuatan sendiri sama seperti negara-negara lain. Mengapa kita tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk saling melengkapi? Untuk meramal masa depan sangat sukar tetapi sekurang-kurangnya kita mengambil langkah yang wajar untuk saling mengukuhkan, menyatukan kekuatan pada peringkat negara dan secara dua hala antara dua negara, dan lebih-lebih lagi dengan ASEAN.

"Dalam perbincangan saya dengan pemimpin ASEAN lain, saya dapat rasakan semangat baharu ini. Sekarang, kita perlu memperkuat diri kita sebagai satu kuasa serantau supaya dapat menangani tekanan yang tidak dijangka daripada kawasan atau kumpulan atau rantau lain. Kami harap kita dapat bekerjasama daripada bercakap mengenai perpecahan dan ketegangan yang menjadi perbalahan," katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata lebih fokus patut diberikan kepada Grid Tenaga ASEAN, kesalinghubungan digital dan mempertingkat intraperdagangan dan pelaburan dalam rantau ini, yang malangnya masing kurang.

"Kita telah berjaya dalam banyak bidang, dan saya rasa kita patut memuji sumbangan pemimpin terdahulu, tetapi saya berpendapat fokus baharu kini terutamanya pada kepentingan mengukuhkan asas ekonomi sebagai satu rantau dan kedudukan strategik sebagai pemain baharu dalam tuntutan dan peraturan geopolitik yang tidak menentu," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED