Translate

08 January 2025

APMM tingkat kekerapan rondaan kekang pencerobohan



APMM tingkat kekerapan rondaan kekang pencerobohan

Bernama

08/01/2025


Pemantauan petugas di SWASLA dan aset udara juga dipertingkatkan untuk mengawasi dan mengesan pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan. - Gambar fail/Bernama


ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan hotspot perairan negara menerusi Op Guard 4.0 bagi mengekang pencerobohan pendatang tanpa izin.

Menurut APMM, pemantauan petugas di Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) dan aset udara juga dipertingkatkan untuk mengawasi dan mengesan pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara.

"Pengumpulan maklumat risikan terus dipergiatkan. Di samping itu, pertukaran maklumat dengan rakan sejawat di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia juga giat dilaksanakan.

"Kerjasama dengan komuniti maritim setempat bagi penyaluran maklumat yang pantas juga akan terus dilaksanakan," kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut APMM kedudukan geografi perairan Langkawi yang dikelilingi banyak pulau selain kawasan perairan yang luas menyukarkan pihak berkuasa mengesan pencerobohan pendatang tanpa izin, khususnya dari Myanmar.

Selain itu, modus operandi kemasukan bot pendatang tanpa izin ke Langkawi sering menggunakan taktik penyamaran iaitu pergerakan seakan-akan bot nelayan tempatan serta bergerak waktu malam sehingga awal pagi.

Bagaimanapun, APMM menegaskan ia tidak menjadikan kekangan itu sebagai penghalang aset laut dan udara di atur gerak dan diletak dalam sektor Op Guard 4.0 bagi mengawal perairan negara daripada diceroboh.

Op Guard yang dilancarkan pada Dis 2022 ialah operasi bersepadu melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Imigresen Malaysia bertujuan membanteras kemasukan pendatang ke sempadan perairan negara Malaysia, khususnya di Langkawi.

Menurut agensi itu, operasi itu berjaya mengekang kemasukan pendatang dari Myanmar iaitu etnik Rohingya ke Malaysia, khususnya di perairan Langkawi antara 2023 hingga 2024.

"Berdasarkan rekod agensi, kumpulan terakhir etnik Rohingya ke Langkawi ialah pada 23 Dis 2022 yang melibatkan 36 orang," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seramai 196 pendatang tanpa izin dari Myanmar ditahan pihak berkuasa selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan di Pantai Teluk Yu, Langkawi, awal pagi Jumaat lepas.

Pada lewat petang hari sama, dua lagi bot membawa kira-kira 300 pendatang dari Myanmar diusir dari perairan negara selepas kedudukan dua bot itu dikesan di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED