Translate

07 January 2025

Bursa Malaysia dibuka tinggi



Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bernama

07/01/2025


Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,628.54, naik 3.07 mata daripada 1,625.47 semalam. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, didorong oleh prestasi bercampur-campur di Wall Street dan pasaran serantau.

Sentimen terjejas oleh kebimbangan mengenai penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang mungkin lebih perlahan daripada jangkaan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,628.54, naik 3.07 mata daripada 1,625.47 semalam.

Indeks pada awalnya dibuka rendah 0.97 mata kepada 1,624.50.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 253 berbanding 130, dengan 323 kaunter tidak berubah, 1,647 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri sesi dagangan dengan prestasi bercampur-campur, dengan aktiviti pengambilan untung mempengaruhi Indeks Dow Jones.

Dalam negara, katanya FBM KLCI merosot di bawah paras sokongan 1,630 dan fasa konsolidasi dijangka berterusan sehingga wujud pemangkin baharu.

Melepasi paras halangan 1,645 penting untuk indeks kembali kepada trajektori meningkat.

"Hari ini, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,620 hingga 1,630, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.12, Public Bank naik satu sen kepada RM4.52 dan IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM7.30 manakala CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing kekal mendatar pada RM8.08 dan RM14.58.

Dalam saham aktif, Key Asic meningkat setengah sen kepada 4.5 sen, Nationgate naik 13 sen kepada RM2.89, bagaimanapun Zelan merosot setengah sen kepada 6.0 sen dan Velocity mendatar pada 8.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 38.72 mata kepada 12,559.87, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 45.82 mata kepada 12,583.21 dan Indeks FBMT 100 menambah 38.36 mata kepada 12,227.07.

Indeks FBM 70 naik 116.25 mata kepada 19,019.87 manakala Indeks FBM ACE merosot 3.02 mata kepada 5,492.12.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 4.60 mata kepada 859.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 17.41 mata kepada 18,991.75, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.28 mata kepada 174.79 dan Indeks Perladangan naik 0.97 mata kepada 7,564.19.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED