Translate

21 December 2024

'Sedih untuk berakhir macam ini' - Vicente



'Sedih untuk berakhir macam ini' - Vicente

Bernama

21/12/2024


Kekecewaan Malaysia ini menandakan perlawanan terakhir Vicente bersama pasukan kebangsaan. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, percaya pasukannya layak mendapat keputusan yang lebih baik selepas impian ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 berkecai selepas seri tanpa jaringan menentang Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Jurulatih dari Sepanyol yang berusia 41 tahun itu mengakui ia adalah cara yang mengecewakan untuk menamatkan kempen yang menyaksikan Harimau Malaya menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kumpulan, di belakang Thailand yang menduduki tempat pertama dan Singapura.

"Ia sukar untuk mengungkapkan (perasaan). Saya percaya kami layak mendapat lebih malam ini dan dari segi permainan, kami tidak boleh melakukan lebih banyak untuk meraih kemenangan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

"Pada masa yang sama, saya bersyukur atas sokongan orang ramai yang menghormati usaha pemain-pemain dalam dua minggu kebelakangan ini. Walaupun dalam situasi yang sukar, kami masih dapat kekal bersama dan dengan sokongan peminat di Bukit Jalil, saya rasa ini adalah sesuatu yang positif untuk bola sepak Malaysia," katanya.

Kekecewaan Malaysia ini menandakan perlawanan terakhir Vicente bersama pasukan kebangsaan selepas beliau dilantik pada Januari 2022, selepas beliau mengumumkan akan meninggalkan pasukan sebaik sahaja tamat kempen Piala ASEAN.

Sementara itu, ketua jurulatih Singapura Tsutomu Ogura berkata walaupun pasukannya berjaya mara ke separuh akhir, beliau mengakui bahawa pemain-pemainnya tidak beraksi dengan baik malam tadi.

Namun, beliau melahirkan rasa bangga terhadap barisan pertahanan pasukannya yang berjaya menghalang Malaysia daripada menjaringkan gol.

"Ia memerlukan setiap masa untuk menunjukkan semangat juang. Saya sangat bangga dengan pertahanan. Hari ini adalah satu keputusan yang baik untuk sejarah bola sepak Singapura. Saya beritahu pemain, mungkin kita sedang mengubah sejarah," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan akhir Kumpulan A, Thailand mengalahkan Kemboja 3-2 di Bangkok malam ini untuk mengesahkan status mereka sebagai juara kumpulan dengan 12 mata, diikuti Singapura (7), Malaysia (5), Kemboja (4), dan Timor-Leste yang berada di tempat terakhir tanpa mata.

Thailand akan bertemu naib juara Kumpulan B dalam separuh akhir manakala Singapura akan berhadapan dengan juara kumpulan tersebut.

Untuk rekod, Malaysia, juara 2010 berjaya mara ke separuh akhir dalam edisi sebelumnya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED