Translate

12 December 2024

MARA berjaya turunkan peratusan pinjaman tidak berbayar - Ahmad Zahid



MARA berjaya turunkan peratusan pinjaman tidak berbayar - Ahmad Zahid

Bernama

11/12/2024


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata antara langkah diambil termasuk tindakan undang-undang dan penyitaan aset peminjam. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya menurunkan peratusan pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada dua digit kepada satu digit hasil tindakan susulan yang diambil terhadap peminjam daripada senarai ingkar.

MARA berjaya menurunkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) kepada satu digit melalui tindakan seperti undang-undang dan penyitaan aset peminjam.

Peminjam yang ingkar, termasuk mereka yang mempamerkan kemewahan, dikenakan tindakan tegas tanpa pilih kasih kerana pinjaman adalah wang rakyat.

Tindakan ini penting untuk memastikan modal pusingan tersedia bagi membantu peminjam lain mencapai kejayaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata antara langkah diambil termasuk tindakan undang-undang dan penyitaan aset peminjam.

Tanpa mendedahkan jumlah terkini peratusan NPL, Ahmad Zahid berkata satu ketika dahulu ia pernah mencapai lebih 10 peratus.

"Walaupun kita belum berpuas hati, kita mempunyai usaha-usaha termasuk melakukan penyeliaan kerana memang terdapat dalam kalangan peminjam itu dalam kategori defaulters dan (saya) tidak merujuk kepada mana-mana individu, kumpulan ini memang ada.

"Justeru apa dilakukan bukan hanya tindakan undang-undang, juga penyitaan wajib dilakukan sebab pinjaman bukan geran, bukan bantuan, tetapi pinjaman yang perlu bayar balik kerana kita perlukan modal pusingan untuk memberikan peluang kepada peminjam lain dan beri orang lain maju dalam bidang masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad bagi Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk, Perak, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata bahawa peminjam institusi itu yang dilihat sengaja tidak membayar pinjaman tetapi memperagakan kemewahan.

Dalam hal tersebut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata MARA tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan, kerana ia adalah wang rakyat yang diperoleh daripada pembayar cukai.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan pegawai MARA menyerbu sebuah rumah dipercayai milik pelakon terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya, susulan kegagalannya membayar balik pinjaman berjumlah RM1 juta.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED