Langgar bon parti: PKR teliti alasan penghakiman untuk tindakan susulan
Bernama
12/12/2024
Saifuddin berkata beliau akan meneliti alasan penghakiman sebelum membuat keputusan selanjutnya. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan berbincang dengan peguam susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan pampasan yang perlu dibayar oleh bekas Naib Presiden parti itu Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon.
Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau akan meneliti alasan penghakiman sebelum membuat keputusan selanjutnya.
"Dari segi fakta kes, sabitan itu dikekalkan, bermaksud tindakan PKR mengenakan caj komitmen kewangan adalah betul," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.
Beliau berkata perbezaan utama dalam keputusan Mahkamah Rayuan ialah jumlah pampasan adalah jauh lebih rendah berbanding RM10 juta yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.
"Kami ada satu lagi platform iaitu Mahkamah Persekutuan," kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu.
Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Zuraida hanya perlu membayar pampasan sebanyak RM100,000 kepada PKR berbanding RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam keputusan sebulat suara bagaimanapun mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida telah melanggar syarat bon parti.
Namun mereka menyifatkan jumlah pampasan RM10 juta sebagai tidak munasabah.
Pada 28 Sept 2020, Saifuddin Nasution yang ketika itu Setiausaha Agung PKR telah memfailkan saman menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang ditandatangani pada 25 April 2018 dan mengikatnya kepada parti.
-- BERNAMA