Translate

21 December 2024

KTMB perkenal tren MySawasdee edisi Pulau Pinang mulai 29 Dis ini



KTMB perkenal tren MySawasdee edisi Pulau Pinang mulai 29 Dis ini

Bernama

21/12/2024


Tambang sehala adalah RM45, dengan perhentian di stesen utama seperti Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau, dan Padang Besar. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hat Yai-Butterworth yang akan beroperasi sebagai percubaan laluan bermula 29 Dis ini hingga 5 Jan depan.

Tren MySawasdee akan beroperasi dari Butterworth ke Hat Yai dan kembali, bermula 29 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025, untuk menilai permintaan dan sambutan pengguna.

Tambang sehala adalah RM45, dengan perhentian di stesen utama seperti Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau, dan Padang Besar.

Laluan ini diharapkan dapat meningkatkan pelancongan domestik dan antarabangsa, serta memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan percubaan laluan itu bertujuan untuk menilai permintaan dan sambutan pengguna terhadap perkhidmatan tren khas berkenaan, sebagai perancangan pelaksanaan tren ke beberapa lokasi tumpuan di rangkaian State Railway of Thailand (SRT) pada masa akan datang.

Kenyataan itu menyebut bahawa perkhidmatan ini hanya menawarkan tambang sehala pada harga RM45, dan ia akan berhenti di beberapa stesen utama, termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau, dan Padang Besar.

"Jualan tiket akan bermula Isnin ini (23 Dis), pada pukul 10 pagi. Masa berlepas dari Butterworth adalah pada 7.40 pagi dan dijangka tiba di Hat Yai sekitar 12.05 tengah hari waktu Thailand, manakala jadual perjalanan berlepas dari Hat Yai adalah pada 3 petang waktu Thailand dan tiba di Butterworth pada 9.46 malam," menurut kenyataan itu.

KTM memaklumkan, pengenalan laluan baharu ini memberi peluang kepada penduduk di utara Semenanjung Malaysia dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.

"Laluan ini dijangka memberi manfaat kepada pelancongan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong dari Hat Yai ke Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan budaya dan keunikan makanan tempatan.

"Selain itu, laluan ini juga berpotensi meningkatkan sektor pelancongan domestik dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, dengan manfaat kepada pelbagai perniagaan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh tren ini," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KTMB menggalakkan pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED