Translate

05 December 2024

Empat wanita ditahan disyaki samun rantai warga emas



Empat wanita ditahan disyaki samun rantai warga emas

Bernama

05/12/2024


Kes samun rantai leher melibatkan seorang wanita warga emas pada 28 Nov lepas disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Empat wanita ditahan semalam selepas disyaki menyamun seutas rantai leher seorang wanita warga emas pada 28 Nov lepas.

Ketua Polis Serdang ACP A. A Anbalagan berkata keempat-empat wanita berusia 30 hingga 41 tahun itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Semangat PJS 13 di sini.

Beliau berkata semasa kejadian, mangsa yang berusia 69 tahun berada di hadapan rumahnya di Seri Kembangan sebelum didatangi sebuah kereta bernombor pendaftaran palsu WXY 5795.

"Seterusnya keluar tiga wanita yang tidak dikenali dari kereta itu dan memberitahu mangsa satu pinjaman serta bantuan khas untuk mangsa. Suspek telah mengajak mangsa ke pejabat mereka di South City Plaza, Serdang Perdana.

"Setelah sampai, apabila mangsa turun dari kereta seorang daripada suspek telah menarik rantai leher yang dipakai mangsa sebelum bertindak melarikan diri," katanya dalam kenyataan semalam.

Anbalagan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk segera tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 03-80742222.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi 1.03 minit berkenaan tangkapan empat wanita terbabit oleh sepasukan polis di persimpangan lampu isyarat tersebut.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED