Translate

12 December 2024

Azizulhasni tidak akan beraksi pada ACC 2025



Azizulhasni tidak akan beraksi pada ACC 2025

Bernama

12/12/2024


Azizulhasni menyampaikan ucapan pada Program Sports Icons Tour yang diadakan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengesahkan bahawa dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Februari tahun depan.

Bagaimanapun, pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu berkata beliau tetap hadir ke kejohanan berkenaan untuk membantu serta memberi sokongan kepada pelumba-pelumba negara.

“Setakat ini tiada berita untuk niat berkayuh. Sudah tiba masanya untuk saya beri sokongan dari segi moral dan juga apa-apa yang saya boleh bantu.

“Sepertimana yang saya beritahu sebelum ini, selepas Olimpik baton telah diserahkan, kita ada (Muhammad) Shah Firdaus Sahrom, ada adik beliau Muhammad Ridwan Sahrom, Fadhil Zhonis dan pelumba muda lain and harapnya mereka akan meningkat naik untuk persiapan bagi Sukan Asia, Sukan Komanwel seterusnya di Olimpik Los Angeles 2028,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill memberi bayangan atlet berusia 36 tahun ini berkemungkinan mengambil bahagian dalam ACC 2025.

Amarjit berkata bekas juara dunia acara keirin itu masih bersemangat untuk mempamerkan kayuhan bertenaganya.

Dalam pada itu, Azizulhasni berkata buat masa ini fokusnya adalah untuk menghabiskan pelajarannya dalam bidang jurusan Ijazah Sains Senaman Klinikal di Universiti Deakin Melbourne, Australia yang berbaki setahun lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, namun masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.

“Tadi saya jumpa jawatankuasa PKBM, mereka ada pujuk saya untuk sertai Sukan Asia atau Sukan Komanwel, tetapi saya katakan kepada mereka saya tidak dapat menjanjikan apa-apa.

“Jadi, kita tunggu 2024 habis dulu ... tahun yang penuh cabaran. Nanti kita tengok 2025 macam mana pula gambarannya,” katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED