TERAJU akan wujudkan dana RM1 bilion bantu perusahaan Bumiputera
Bernama
21/05/2024
TERAJU akan wujudkan dana RM1 bilion bantu perusahaan Bumiputera
Menurut Junady, dana yang menggunakan kaedah leveraj dan penggandaan itu akan dilaksanakan dengan sokongan rakan usaha sama. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mewujudkan dana agregat sebanyak RM1 bilion untuk syarikat Bumiputera dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, dana itu akan dilaksanakan dengan sokongan rakan usaha sama.
"Kami akan memilih beberapa bank perdagangan dan institusi kewangan pembangunan sebagai rakan kongsi.
"Dana itu akan diagihkan dalam bentuk pinjaman. Kami akan berbincang dengan rakan kerjasama untuk merendahkan kadar faedah pinjaman di bawah kadar pasaran (supaya ia) menarik kepada syarikat Bumiputera," katanya kepada Bernama di luar program Mempertingkat Penciptaan Nilai Bumiputera, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, dana agregat berjumlah RM1 bilion itu menggunakan kaedah leveraj dan penggandaan.
"Ini bererti, dengan (setiap) RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk syarikat Bumiputera, menggunakan komitmen itu, rakan kerjasama akan memberikan lima kali ganda jumlahnya. Kami juga tidak akan menumpukan kepada geran selepas ini, tetapi kepada pinjaman seperti ini," katanya.
Beliau berkata, dengan saiz dana itu, Teraju menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan sehingga 5,000 perusahaan bumiputera dan memudahkan penskalaan 1,000 perusahaan Bumiputera menjelang 2030.
Teraju akan bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporation, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee Corporation, Exim Bank, Pernas dan Development Bank of Sarawak, untuk mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM 1bilion untuk syarikat Bumiputera. - BERNAMA