Piala AFF: Azam Azmi digantung dua perlawanan, denda RM4,390
Astro Arena
Januari 3, 2023 12:52 MYT
Piala AFF: Azam Azmi digantung dua perlawanan, denda RM4,390
Insiden dibuang padang berlaku selepas Azam Azmi dirempuh pertahanan lawan hingga berlanggar dengan papan billboard di belakang kotak penalti negara dan dia cuba bangkit tetapi butnya terkena muka Van Hau. - Foto Astro ARENA
BEK kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad, digantung dua perlawanan serta didenda USD1000 (RM4,390) selepas insiden yang membabitkannya dan pemain Vietnam, Doan Van Hau, dalam pertembungan Kumpulan B, Piala AFF, Khamis lalu.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Etika Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mendapati Azam Azmi bersalah dalam insiden kekasaran di Stadium My Dinh itu yang menyaksikannya dibuang padang pada minit ke-62.
Insiden itu berlaku selepas dia dirempuh oleh pertahanan lawan hingga berlanggar dengan papan billboard di belakang kotak penalti negara.
Dia cuba bangkit tetapi butnya terkena muka Van Hau, dan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato, kemudian menghadiahkan sepakan penalti.
Tindakan itu mengundang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi kepada AFF berhubung mutu pengadilan Sato tersebut.