Pekerja asing merusuh tidak puas hati rakan meninggal dunia
ASTRO AWANI
Video kejadian yang tular di media sosial. -Video viral
MELAKA: Gara-gara tidak berpuas hati dengan kelewatan pengawal keselamatan memberikan bantuan segera kepada rakan sekerja, sekumpulan pekerja kilang warga asing merusuh di asrama penempatan mereka di Pantai Puteri, di sini, pada Khamis.
Video kejadian yang tular di media sosial. -Video viral
MELAKA: Gara-gara tidak berpuas hati dengan kelewatan pengawal keselamatan memberikan bantuan segera kepada rakan sekerja, sekumpulan pekerja kilang warga asing merusuh di asrama penempatan mereka di Pantai Puteri, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kumpulan warga asing terbabit didakwa membuat provokasi terhadap seorang pengawal keselamatan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan membaling batu dan merosakkan pondok pengawal di bahagian depan asrama.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati rusuhan berlaku kerana mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan berusia 33 tahun itu menguruskan salah seorang rakan mereka yang dilaporkan tidak sedarkan diri.
“Siasatan mendapati, selepas ambulans tiba, pengawal itu membawa turun mangsa dan disahkan telah meninggal dunia.
"Namun berlaku kekecohan apabila salah seorang pekerja Bangladesh itu enggan memberi kerjasama dan mula melakukan rusuhan di bahagian pintu pagar depan asrama.
“Suspek mula melontar batu ke arah lelaki itu dan akibat kejadian, lelaki terbabit bersama petugas perubatan KKM telah keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri sebelum keadaan berjaya dikawal setelah kehadiran pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan memandangkan lebih 670 pekerja asing itu sedang menjalani perintah kuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu.
Beberapa perkakas pejabat pondok pengawal, kamera litar tertutup (CCTV), peti penggera kebakaran dan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik pengawal keselamatan itu turut dirosakkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM22,000.
Ujarnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular beberapa rakaman klip video di media sosial dipercayai membabitkan kejadian berkenaan yang mendakwa ramai pekerja asing meninggal dunia akibat penularan COVID-19 di kawasan asrama terbabit.