Sikap saling menghormati antara kaum perlu terus dikekalkan - PM
Astro Awani
11/2/2021
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu dikekalkan kerana ia merupakan salah satu teras utama perpaduan negara.
Menurut Perdana Menteri, sikap saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum dan agama ini merupakan kekuatan utama perpaduan yang telah lama terjalin.
Sehubungan itu, beliau berharap sambutan ‘Year of the Ox’ tahun ini akan meningkatkan semangat dan memberi kekuatan baharu dalam meneruskan usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan seterusnya memulihkan ekonomi negara.
"Saya berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia.
"Jadikanlah perayaan ini sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta titik pengukuhan sikap hormat-menghormati sesama kita," katanya ketika menyampaikan perutusan khas Sempena Tahun Baharu Cina.
Ucapan Perdana Menteri Sempena Tahun Baharu Cina 2021
Perdana Menteri menjelaskan, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini disambut dalam suasana dalam norma baharu kerana negara masih berdepan penularan wabak COVID-19.
"Kita faham dalam suasana pandemik ini, rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama menyambut perayaan masing-masing dalam suasana yang agak lebih berhati-hati.
"Kerajaan juga menetapkan SOP tertentu untuk memastikan saudara dan saudari dapat menyambut perayaan dalam keadaan yang selamat.
"Ini termasuklah sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berjumpa keluarga masing-masing," kata beliau.
Jelas Muhyiddin, sekatan yang dikenakan bertujuan untuk melindungi nyawa terutama ahli keluarga yang disayangi dan mencapai hasrat kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Perdana Menteri turut menasihatkan masyarakat Tionghua agar terus melakukan kawalan kendiri ketika menyambut Tahun Baharu Cina kali ini
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: