Translate

10 February 2021

Peserta Cikgu Juara Digital MDEC, Norhailmi Hasilkan PdPR Di TikTok


Cikgu Juara Digital 2020 - Norhailmi Abdul Mutalib  

Peserta Cikgu Juara Digital MDEC, Norhailmi hasilkan PdPR di TikTok

BERNAMA
10/02/2021 

KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Kisah Cikgu Norhailmi adalah antara kejayaan program ‘Cikgu Juara Digital’ anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam mendepani cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Norhailmi atau nama penuhnya Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata selepas menjadi peserta program itu, beliau kemudian menyertai bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi tersebut berpotensi membantu proses pembelajaran.

“Saya mula membuka akaun TikTok pada Oktober 2020 dengan memuat naik kandungan video tentang nota subjek Sains selain turut merakam eksperimen ringkas bagi memudahkan pelajar memahami topik yang sedang dibincangkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MDEC hari ini.

Norhailmi yang mengajar subjek Sains bagi pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Jerlun, Kedah, berkata kaedah itu sangat membantu memandangkan kandungan video di platform itu berdurasi lebih pendek.

“Ini sekali gus menjimatkan kuota internet pelajar berbanding mengikuti tele pembelajaran yang mengambil masa lebih lama selain penggunaan data lebih tinggi. Bukan semua pelajar saya melanggan pelan internet secara bulanan kerana ada membeli data berdasarkan pakej harian,” katanya.

Menerusi akaun @cikguhailmi, beliau telah mengumpul lebih 11,000 pengikut dan memuatkan hampir 120 video setakat ini di TikTok.

Antara yang mendapat tontonan tertinggi adalah video berkaitan eksperimen tekanan iaitu lebih 268,000 orang manakala video berkaitan eksperimen Natrium diikuti oleh hampir 80,000 pemilik akaun TikTok.

Seorang lagi guru, Ahmad Adham Berhaumidin turut menggunakan aplikasi media sosial dalam PdPR untuk memudahkan pelajarnya selain berpendapat pengintegrasian maklumat dikongsi MDEC memberi ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam kalangan guru.

Beliau yang mengajar subjek Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan empat dan lima di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor berkata pengintegrasian maklumat yang dikongsi MDEC meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam kalangan guru sekali gus meningkatkan kecekapan PdPR.

“Saya tidak bergantung kepada satu jenis media sosial sahaja sebaliknya lebih pelbagai menerusi penggunaan Facebook, YouTube, blog dan Twitter,” katanya.

Menurut Ahmad Adham, akaun YouTube beliau iaitu dehewaraspak kini diikuti hampir 1,500 pelayar yang berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyelesaian masalah dalam subjek Matematik Tambahan.

Beliau turut menyediakan soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai bersama pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara dalam talian.

Pada 2019, MDEC menganjurkan program Cikgu Juara Digital atau #CikguJuaraDigital dalam usaha mencari guru yang boleh menjadi penanda aras berkaitan dengan teknologi pendidikan di Malaysia.

Naib Presiden Bahagian Kemahiran Digital dan Kerjaya Digital MDEC Dr Sumitra Nair berkata kumpulan guru yang dilatih MDEC mempunyai daya tahan, kreatif dan peka teknologi untuk memastikan pelajar mereka tidak ketinggalan.

“Kumpulan Cikgu Juara Digital yang dilatih MDEC tidak menjadikan wabak COVID-19 sebagai halangan untuk mereka terus mendidik. Mereka juga tidak buntu teknologi sebaliknya terus belajar, memimpin dan berkongsi amalan terbaik serta mengharungi detik sukar bersama pelajar.

“Guru-guru ini menjadi inspirasi bagi mereka yang bercita-cita untuk menyumbang lebih banyak terutamanya pada masa sukar ini,” katanya

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED