Guna aplikasi Telegram tawar khidmat seks sewaktu PKP
Astro Awani
11/2/2021
PUCHONG: Menggunakan aplikasi Telegram bagi menawarkan khidmat seks kepada pelanggan merupakan modus operandi yang digunakan dua buah pusat urut di Bandar Puteri Puchong.
Berikutan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 14 warga asing serta seorang warga tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis apabila dikesan melakukan kegiatan tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lokasi berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).
“Hasil risikan, premis ini dikunjungi warga tempatan yang meyediakan pakej seks antara RM180 hingga RM225 bagi setiap pakej.
“Serbuan terhadap kedua-dua premis dijalankan serentak pada jam 4.30 petang dengan kekuatan seramai 35 anggota imigresen,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Difahamkan, anggota operasi terpaksa memecahkan pintu premis berikutan tidak mendapat kerjasama daripada penghuni selain cubaan melarikan diri bersama wanita warga asing berjaya digagalkan.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 wanita warga asing Vietnam, tiga warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga salah satu premis tersebut.
Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: