Translate

12 February 2021

DidikTV KPM Bersiaran Mulai Rabu Depan


DidikTV KPM bersiaran mulai Rabu depan


BERNAMA
12/02/2021 

PUTRAJAYA, 12 Feb -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Feb ini.

Pelancaran DidikTV KPM akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi pada hari pertama hari pertama siarannya.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Katanya, bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

KPM berkata pewujudan saluran khusus tersebut merupakan usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Katanya, DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

“Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan,” katanya.

Kementerian itu berkata saluran DidikTV KPM juga merupakan satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.


"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," tambahnya.

Sebelum ini, kementerian berkenaan telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED