Translate

09 April 2020

Langkah ketat telah diambil walaupun yang pulang dari Singapura tidak diasingkan - MB Johor





09/04/2020 06:50 PM
JOHOR BAHRU, 9 Apr -- Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata langkah ketat telah diambil untuk menangani penularan wabak COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura walaupun pihaknya tidak mengambil langkah mengasingkan mereka.

Sepanjang tempoh 3 hingga 7 April lalu, dianggarkan sejumlah 1,000 rakyat Malaysia telah pulang dari Singapura setiap hari namun mereka telah menjalani saringan suhu badan ketika melalui pintu masuk.

“Sekiranya ada yang bergejala, akan diasingkan terus dan dirujuk ke hospital. Selain itu, bagi pekerja Malaysia di Singapura yang telah menjalani ujian di republik itu dan didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan pulang ke rumah untuk melakukan kuarantin sendiri selama 14 hari di rumah dan pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh pasukan kesihatan.

“Manakala yang tidak mempunyai bukti ujian negatif akan dibenarkan pulang ke Malaysia tetapi perlu ditempatkan di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan di negeri ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semasa berada di pusat kuarantin pula, pemeriksaan perubatan akan dijalankan semula bagi memastikan mereka bukan Individu Dalam Siasatan (PUI), bergejala atau tiada penyakit kronik.

Semalam, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor Aminolhuda Hassan mendesak kerajaan negeri agar segera mengambil langkah proaktif dalam merangka semula kemasukan pekerja Malaysia dari Singapura iaitu sama ada mengkuarantinkan mereka di pusat kuarantin atau berunding dengan kerajaan Singapura untuk mengekalkan rakyat Malaysia di sana.

Desakan itu dibuat kerana berpendapat ‘kuarantin sendiri’ yang dicadangkan kerajaan negeri untuk rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura bukan pilihan terbaik.

Sementara itu, mengenai dakwaan kononnya ada dua pusat kuarantin yang disediakan di Johor berada dalam keadaan tidak memuaskan, Hasni berkata beliau telah mengambil maklum perkara tersebut.

“Untuk makluman, seramai 197 rakyat kita yang ditempatkan di dua pusat kuarantin berkenaan telah dipindahkan secara berperingkat ke hotel yang telah diwartakan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan Johor mendakwa pihaknya telah menerima beberapa aduan mengenai keadaan sebuah pusat kuarantin yang dilihat kurang memuaskan, termasuk dari segi kebersihan.

Hasni berkata kerajaan negeri Johor mahu semua pemimpin dan ketua masyarakat yang diberikan amanah untuk mengagihkan bantuan memastikan bahawa semua golongan yang layak, menerima bantuan itu.

Beliau juga sentiasa membuka ruang kepada pembangkang untuk menyampaikan idea dan pandangan bagi menyantuni rakyat sepanjang tempoh COVID-19 selain berganding bahu bagi memastikan rakyat di kawasan masing-masing mendapat bantuan sewajarnya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED