Imigresen serbu Hentian Kajang, tahan 288 pendatang asing
Bernama
11/04/2025

Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan pemeriksaan dokumen terhadap warga asing pada serbuan di Hentian Kajang, Selangor. - Foto BERNAMA
KAJANG: Jabatan Imigresen menahan 288 pendatang tanpa izin disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dalam serbuan di Hentian Kajang, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Jafri Embok Taha berkata pendatang asing yang ditahan terdiri daripada 242 lelaki dan 46 wanita dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka serta Sudan.
Beliau berkata dalam operasi bermula pada 7.30 malam bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam itu, seramai 785 warga asing dan 250 warga tempatan diperiksa di enam blok bangunan rumah kedai lima tingkat yang menempatkan pelbagai premis perniagaan serta kediaman untuk pekerja asing.
"Kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 60 tahun dan disyaki melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen," katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini, malam tadi.
Jafri berkata kebanyakan pendatang asing yang ditahan bekerja di premis makanan dan kilang berhampiran dan semuanya dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi, sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.
Beliau berkata dalam serbuan yang tamat 12 tengah malam tadi, terdapat warga asing dikesan bersembunyi di dalam tandas dan siling bangunan serta ada juga yang disyaki bekerja di sebuah premis perjudian di bangunan terbabit.
Jafri berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti wujudnya aktiviti perjudian yang menjadikan pendatang tanpa izin sebagai pekerja.
Beliau menasihatkan majikan warga tempatan untuk tidak menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin kerana tindakan tegas akan diambil sekiranya melakukan kesalahan di bawah Akta 155, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
-- BERNAMA