Translate

27 December 2024

PM Anwar ucap takziah kepada keluarga Manmohan Singh, anggap mendiang sahabat sejati



PM Anwar ucap takziah kepada keluarga Manmohan Singh, anggap mendiang sahabat sejati

Bernama

27/12/2024


Anawar berkata Manmohan yang dianggap sebagai arkitek pembaharuan ekonomi India semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan sebelum bergelar perdana menteri, memainkan peranan penting dalam mengubah India menjadi kuasa ekonomi global.


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas perdana menteri India mendiang Dr Manmohan Singh yang meninggal dunia malam Khamis sebagai seorang "sahabat yang amat disayangi" dan tokoh penting dalam sejarah moden India.

Dalam ucapan takziah kepada keluarga mendiang, Anwar berkata: "Saya benar-benar sedih dengan berita pemergian seorang sahabat yang amat dihormati dan disayangi Dr Manmohan Singh."

Beliau berkata Manmohan yang dianggap sebagai arkitek pembaharuan ekonomi India semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan sebelum bergelar perdana menteri, memainkan peranan penting dalam mengubah India menjadi kuasa ekonomi global.

"Obituari, esei dan buku pastinya banyak memperkatakan tentang pemimpin hebat ini, menyanjung mendiang sebagai arkitek reformasi ekonomi India. Sebagai Perdana Menteri, Dr Manmohan Singh adalah pencetus kemunculan India sebagai satu gergasi ekonomi dunia," katanya kenyataan yang dikongsi di laman Facebooknya.

Anwar dalam catatannya mengimbas kembali hubungan peribadinya dengan Dr Manmohan Singh, semasa kedua-dua mereka berkhidmat sebagai menteri kewangan pada tahun 1990-an.

"Saya benar-benar bertuah dapat menyaksikan tahun-tahun awal dasar transformatif ini secara langsung, semasa kami berdua berkhidmat sebagai menteri kewangan pada 1990-an. Kami berkongsi komitmen yang tinggi untuk memerangi rasuah - malah dapat bekerjasama dalam membongkar kes rasuah besar," katanya.

Perdana Menteri memuji Manmohan kerana kejujuran dan keteguhannya, sifat-sifat yang membuatkan bekas perdana menteri itu dihormati sebagai seorang negarawan.

"Pujian yang akan menyusul pada hari-hari mendatang, tidak dinafikan memang kena pada tempatnya. Dr Manmohan Singh, mungkin sedikit janggal sebagai ahli politik, tetapi tidak dinafikan teguh dan tegas sebagai seorang negarawan, meninggalkan kesan yang akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.

Anwar seterusnya berkongsi kisah yang menyerlahkan kemurahan hati dan nurani kemanusiaan Dr Manmohan Singh semasa tempoh hidupnya yang mencabar.

"Tidak ramai yang tahu perkara ini, dan sudah tiba masanya saya berkongsi dengan rakyat Malaysia: selama bertahun-tahun semasa saya dipenjarakan, dia telah menunjukkan kemurahan hati, yang sebenarnya tidak perlu ditunjukkannya - sesuatu yang tidak sesuai dari segi politik dan mungkin ramai tahu memang tidak dihargai oleh kerajaan Malaysia ketika itu, namun selaras dengan sifat peribadinya, dia tetap menunjukkan kemurahan hatinya.

"Dia menawarkan biasiswa untuk anak saya, terutamanya anak saya, Ihsan. Walaupun saya telah menolak tawaran yang baik itu, keperibadian seperti itu sudah pasti menunjukkan sifat kemanusiaan dan kemurahan hatinya yang luar biasa," katanya.

Anwar seterusnya menyifatkan Manmohan sebagai sahabat sejati yang berdiri teguh di sisinya dalam zaman kelamnya.

"Pada hari-hari sedemikian, ketika saya dipenjara, dia berdiri teguh di samping saya sebagai sahabat sejati. Kemurahan hati sedemikian mentakrifkan sifat murninya, dan ia akan kekal dalam hati saya selama-lamanya.

"Goodbye, my mitra, my bhai, Manmohan," menurut catatan itu.

Manmohan meninggal dunia malam Khamis pada usia 92 tahun. Pemimpin yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri India ke-13 dari 2004 hingga 2014 itu menghembuskan nafas terakhirnya di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), New Delhi.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED