Translate

22 December 2024

PM Anwar puas hati prestasi Jemaah Menteri, ada ruang untuk diperbaiki



PM Anwar puas hati prestasi Jemaah Menteri, ada ruang untuk diperbaiki

Bernama

21/12/2024


Anwar berkata pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terdapat cadangan daripada menteri supaya diadakan satu pemukiman pada Januari depan, bagi menilai kekuatan dan kelemahan Kerajaan MADANI. - Gambar/ Bernama


SUBANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Kabinet setakat dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata bagaimanapun masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi pencapaiannya kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh berkenaan, beliau melihat ada menteri yang telah mempamerkan prestasi cemerlang malah ada juga yang menunjukkan prestasi sederhana.

"Tapi saya puas hati satu perkara, walaupun orang bangkit soal rasuah, kes ini, kes itu, yang penting sejak dua tahun ini saya tak izinkan amalan lama rundingan terus, curi komisen...itu saya hentikan," kata beliau dalam sidang media yang dihadiri pengamal media tempatan dan antarabangsa, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya amat menitikberatkan agenda tatakelola yang baik.

"Orang tak mahu dengar isu tatakelola, tapi bagi saya ini masalah terbesar. Bagi saya tatatekola ini paling penting sebab kebocoran, rasuah, hilang dana puluh-puluh bilion bayar hutang yang tidak sepatutnya kita bayar," kata beliau.

Menjawab isu penilaian yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan MADANI sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan terbuka dalam menerima pandangan, namun berpandangan penilaian prestasi yang dilakukan oleh NGO berkenaan adalah terhad.

Mengambil contoh penilaian dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Anwar berkata ia tidak mengambil kira aspek seperti ekonomi, rasuah dan tatakelola.

Sebelum ini, Bersih memberikan gred D kepada Kerajaan MADANI sepanjang dua tahun pentadbirannya.

Sementara itu, Anwar berkata pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terdapat cadangan daripada menteri supaya diadakan satu pemukiman pada Januari depan, bagi menilai kekuatan dan kelemahan Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED