Translate

11 December 2024

Jumaat pertama 2025 Johor cuti atau bekerja ditetapkan minggu depan - Exco



Jumaat pertama 2025 Johor cuti atau bekerja ditetapkan minggu depan - Exco

Bernama

11/12/2024


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han ketika menyampaikan ucaptama pada majlis berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS_SEZ) di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA


JOHOR BAHRU: Keputusan sama ada Jumaat pertama 2025 diisytihar cuti atau hari bekerja akan ditetapkan minggu hadapan, susulan perubahan cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan perbincangan mendalam bersama pelbagai pihak perlu dibuat kerana melibatkan implikasi undang-undang termasuk isu kerja lebih masa dan pembayaran elaun.

"Perkara ini akan dibincangkan sama ada untuk minggu itu sahaja, rakyat Johor perlu bekerja dan bersekolah enam hari atau dikecualikan sehari. Kita akan kaji cara terbaik minimumkan gangguan kepada pelajar, pekerja dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di sini hari ini.

Lee berkata pihaknya turut berharap pengumuman berhubung perkara itu tidak terlalu lewat untuk ibu bapa, majikan dan pekerja membuat persediaan berkaitan.

Pada 7 Okt, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan dan perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Minggu pertama perubahan cuti hujung minggu menimbulkan situasi terdapat enam hari bekerja iaitu bermula dari Ahad, 29 Dis hingga Jumaat, 3 Jan dengan tarikh 1 Jan 2025 jatuh pada Rabu.

Penyelarasan semula cuti hujung minggu di negeri ini akan melibatkan kesemua penduduk Johor, khususnya 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta serta 587,343 murid dan pelajar.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED