JKDM kutip hasil RM61.35 bilion, pencapaian terbaik pascapandemik
Bernama
04/12/2024
Anis Rizana berkata, kejayaan itu merupakan yang paling terbaik pascapandemik dan juga pencapaian RM61.9 bilion dikutip ketika pelaksanaan GST pada 2017. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip hasil RM61.35 bilion setakat semalam, melepasi sasaran kutipan hasil tahun ini sebanyak RM56 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pencapaian itu turut melepasi sasaran awal semakan semula pada 18 Okt lepas, iaitu RM61.17 bilion.
"Setakat 2 Dis 2024, JKDM telah berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM61.35 bilion, iaitu lebihan sebanyak RM5.35 bilion bersamaan dengan 109.55 peratus berbanding unjuran asal RM56 bilion," katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, kejayaan itu merupakan yang paling terbaik pascapandemik dan juga pencapaian RM61.9 bilion dikutip ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017.
Anis Rizana berkata, setakat 30 Nov lepas, JKDM telah mencatat kutipan hasil sebanyak RM60.96 bilion berbanding RM51.95 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, menunjukkan prestasi peningkatan hasil sebanyak RM9.01 bilion bersamaan dengan 17.34 peratus.
Beliau berkata, JKDM juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup dan menyeleweng duti atau cukai kastam sebanyak 6,708 kes, setakat semalam.
"Kes-kes ini melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan termasuk cukai yang bernilai RM1.532 bilion. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 73.26 peratus, iaitu RM647.82 juta berbanding tempoh yang sama pada 2023," katanya.
Anis Rizana berkata, lima komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi bagi tempoh Januari hingga 2 Dis 2024 ialah kenderaan, dadah, rokok, minuman keras dan tekstil.
Pencapaian membanggakan itu, katanya, ialah hasil reformasi dalam jabatan termasuk digitalisasi dalam urusan perkastaman dan penggunaan mesin pengimbas dengan ciri kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, JKDM akan mengekalkan momentum itu agar pencapaian mampan dicapai menerusi strategi bersifat berkekalan demi menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara. - BERNAMA