Translate

19 December 2024

Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia, permohonan maaf memadai - Hannah



Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia, permohonan maaf memadai - Hannah

Bernama

19/12/2024


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menghadiri sidang media berhubung Dana Sukan KBS Tahun 2025 di Menara KBS, hari ini. - FotoB ERNAMA


PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pemohonan maaf daripada pihak penaja Lee Zii Jia, Victor berhubung isu Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain itu sudah memadai dan enggan memanjangkan isu berkenaan.

Hannah berkeyakinan bahawa Zii Jia tidak berniat untuk menghina negara namun menggesa pengurus dan atlet lain agar mengambil serius isu itu bagi mengelakkan kesilapan sama berulang di masa hadapan.

"Buat masa sekarang, isu Zii Jia seperti yang saya katakan permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya telah mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.

"Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (mengenai garis panduan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang)," katanya selepas Sidang Media Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau juga mendedahkan bahawa pasukan LZJ (Team LZJ) sedang menantikan pertemuan dengan beliau berhubung program Road to Gold (RTG) yang dijadual diadakan pada Januari ini.

Zii Jia menjadi tumpuan kontroversi apabila beliau memakai jersi dengan bendera Malaysia dijahit terbalik ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertemuan dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Hannah berkata ia kemunkinan diadakan tahun depan memandangkan semua orang sedang berehat menjelang akhir tahun.

Sebelum ini, MSN memberi tempoh hingga 31 Dis ini kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengesahkan penyertaan Mohd Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED