Translate

03 March 2020

Khalid Samad di Jom Channel - "Kerajaan Pengkhianat & Penyamun Bersama" | 2 Mac 2019






Muhyiddin khianat amanah rakyat untuk bentuk kerajaan bersih

ARIF ATANMarch 2, 2020 11:59 pm



Mungkin sengaja buat tidak faham, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipilih sebagai Ahli Parlimen atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengingatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut sebelum ini berjanji tidak bersama dengan parti kleptokrat.

“Kamu sudah berjanji dalam ucapan-ucapan kamu bahawa kamu tidak akan bersama dengan Umno, tidak akan bersama dengan penyamun tetapi akhirnya kamu telah langgar semua.

“Kamu langgar dan khianat amanah yang diberikan untuk membentuk kerajaan yang bersih bersama Pakatan Harapan,” tegasnya dalam Siri 56 Bicara YB Khalid Samad menerusi siaran langsung di Jom Channel Facebook Live ini.

Atas tajuk “Kerajaan Pengkhianat dan Penyamun Bersama? Cara Tanganinya”, Khalid memberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad cukup kecewa dengan pengkhianatan yang telah berlaku.

Selain Muhyiddin, beliau berpendapat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula belot terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi Tun Dr Mahathir, dia terasa sangat kerana itu partinya, orang (pengikut) dia tapi boleh pinggirkan dia.

“Mahathir cukup kecewa dan terkilan dengan pengkhianatan yang telah dilakukan.

“Azmin khianat Anwar. Muhyiddin khianat Tun. Dua golongan pengkhianat ini bertemu dengan penyamun dan bentuk kerajaan bersama,” bidasnya.

Menjawab alasan kononnya ramai bukan Muslim dalam senarai sokongan 114 Ahli Parlimen (MP) PH, Khalid berkata, hal tersebut berlaku akibat Muhyiddin yang menarik wakil rakyat untuk meninggalkan blok parti pemerintah pasca PRU-14 itu.

Jelas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, jumlah MP Muslim pada asalnya 75 daripada 144 orang iaitu mewakili 52 peratus.

“(Seramai) 45 Ahli Parlimen adalah Melayu Islam daripada 114. Memanglah kita lihat dari senarai tidak ramai orang Islam.

“Yalah. Macam mana nak ramai? Kamu (Muhyiddin) sudah bawa lari 30 keluar dari PH.

“Asalnya, 75 daripada 144. 52 peratus. Majoriti dalam PH (penganut Islam) kalau kamu tidak bawa lari. Maka, penyelesaiannya, bawa keluar orang Melayu?

“Itu bukan penyelesaian. Itu merumitkan lagi keadaan. Ianya menjadikan Melayu dan Islam tidak sampai 50 peratus kerana kamu yang khianat,” hujahnya.

Pengkhianat dan penyamun

Sebaliknya, Khalid berkata, sokongan kepada PH mungkin boleh mencecah 60 peratus MP Muslim tanpa perbuatan khianat.

“Cuba kamu (Muhyiddin) kekal dalam (PH). Ada 30 lagi (MP) Islam dalam PH. Maka, (ada) 75 MP Melayu Islam. Tidak campur lagi Bumiputera. Mungkin sudah jadi 80 hingga 85 daripada 144.

“Mungkin sudah jadi 55 peratus. Malah, boleh jadi 60 peratus. Lalu, kamu yang timbulkan masalah itu,” bidasnya.

Justeru, beliau menganggap alasan sebenar di sebalik keluarnya Bersatu dari PH adalah kerana mahu menjadi Perdana Menteri.

“Kamu gunakan itu sebagai alasan. Inilah penipuan-penipuan yang terbesar, alasan yang memang tidak boleh pakai. Kamu sendiri timbulkan masalah.

“Muhyiddin bawa keluar (MP Bersatu) bersama Azmin. Dua kumpulan pengkhianat ini bekerjasama dengan penyamun tubuh kerajaan bukan kerana orang Melayu tidak ramai. Itu bukan alasan.

“Sebenarnya dia mahu keluar dari PH kerana nak jadi Perdana Menteri. Kalau duduk dalam PH, dia tidak boleh jadi Perdana Menteri kerana sudah janji kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan,” selar Khalid.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pengkhianatan dilakukan Muhyiddin dan Azmin dengan keluar dari PH adalah lebih besar.

“Muhyiddin mahu jadi Perdana Menteri. Azmin pun nak jadi Perdana Menteri. Maka, mereka keluar dari PH supaya mereka tidak terikat dengan janji.

“Mereka sudah janji akan bersama PH dan mereka bersama mendapat sokongan daripada rakyat jatuhkan penyamun, tetapi sekarang mereka bersatu dengan penyamun. Memang sesuai pengkhianat dan penyamun,” tempelak Khalid lagi.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/muhyiddin-khianat-amanah-rakyat-untuk-bentuk-kerajaan-bersih/

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED