Translate

15 December 2014

Selepas senarai tuntutan IPF, Najib mahu parti India bersatu


Datuk Seri Najib Razak hari ini sekadar memberi jaminan akan mempertimbangkan tuntutan Parti India Bersatu Malaysia (IPF) selepas presidennya, Datuk M Sambanthan meminta pelbagai insentif dari Putrajaya.
Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), juga berharap parti politik masyarakat India di Malaysia dapat bersatu bagi memudahkan kerja membangunkan kaum itu di negara ini.
"Saya tahu IPF mengharapkan lebih daripada kita. Saya sedar mungkin kesetiaan tuan-tuan tidak berbalas dengan jangkaan selama ini. Kita akan fikir apa-apa yang patut kita lakukan untuk terus bantu IPF pada masa akan datang.
"Mungkin ucapan saya pagi ini tiadalah hujan macam turun dari langit. Saya ambil kira kehendak tuan-tuan.
"Dalam masyarakat India ini banyak parti politik. Itu masalah asas. Walaupun komuniti India hanya 7.5% tetapi mereka ada lebih parti politik dari komuniti lain. Kalau kita boleh satukan, saya percaya kita boleh lakukan lebih untuk masyarakat India," katanya ketika merasmikan persidangan tahunan parti itu di Serdang, hari ini.
Sambanthan dalam ucapannya pagi ini meminta peruntukan khas RM5 juta setahun, jawatan senator, melantik seluruh pengerusi negeri IPF sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menjadikan ketua bahagian mereka sebagai ahli majlis daerah.
Mengulas tuntutan IPF dibenarkan menyertai BN, Najib berkata keputusan itu hanya dapat dibuat selepas mendapat persetujuan parti komponen lain.
Katanya, IPF perlu lebih memberi fokus menarik sokongan dari luar parti bagi mengukuhkan kemenangan BN. 
“Hari ini saya mendengar rintihan keinginan IPF yang amat sangat menyertai BN. Saya harap IPF tidak akan rasa putus asa kerana dalam politik keadaan sentiasa berubah dan kita ambil kira keinginan IPF untuk menganggotai BN.
“Walaupun tidak menjadi ahli berstatus penuh BN tetapi IPF pada semangatnya adalah anggota parti BN. Sebab itulah saya rasa tidak asing datang ke sini memakai baju BN,” katanya.
Sementara itu, kehadiran Najib dalam persidangan parti itu hari ini dijadikan peluang presiden IPF mengecam prestasi parti sekaumnya, MIC.
Sambanthan berkata jika IPF diterima menjadi komponen BN, 85% pengundi masyarakat India akan dikembalikan kepada BN.
“Saya berjanji jika IPF diterima sebagai parti kompnen BN, pilihan raya akan datang, IPF dan Friends of BN berani bawa 85% pengundi kepada BN. Jika IPF gagal janji ini, saya minta Datuk Seri keluarkan IPF dari komponen BN.
“Saya ingin menegaskan kepada perdana menteri, IPF juga mewakili masyarakat India tetapi ada parti yang satu itu kata dia saja mewakili masyarakat India. Ini bukanlah yang betul kerana jika betul parti itu menjaga masyarakat India, parti Friends of BN tidak akan wujud.
“Pemimpin itu selalu kata bila Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), parti itulah yang boleh membawa 80% pengundi India.
"Datuk Seri pun tahu dua PRU lepas, parti itu termasuk IPF dan Friends of BN hanya boleh mengumpul 65% pengundi India menyokong BN,” katanya.
Beliau berkata jika MIC tidak mengubah pendiriannya, BN akan menghadapi masalah mendapatkan undi masyarakat India. – 14 Disember, 2014.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED