ISU ANAK PEREMPUAN DIMINTA BUKA TUDUNG : ROSYAM NOR TERIMA PERMOHONAN MAAF
Kuala Lumpur: Isu pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor yang memuat naik status di Twitter betapa dia kecewa dengan kakitangan kedai menjual alat permainan di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya yang meminta anak perempuannya, Nurlisa, 17, membuka tudung jika mahu bekerja di situ, Khamis lalu sehingga menjadi ‘viral’, menemui noktah petang tadi.
Ini kerana, pengurusan kedai terbabit membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada Rosyam menerusi laman Facebook rasmi mereka dan Rosyam menerima permohonan maaf itu.
Pengurusan kedai berkenaan menafikan mereka mempunyai polisi tidak membenarkan pekerja wanita beragama Islam memakai tudung, malah mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin bekerja di situ tanpa mengira bangsa atau agama.
Menurut kenyataan itu, siasatan yang dijalankan mendapati ia dilakukan salah seorang kakitangan baru mereka yang tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja dan tindakan disiplin sudah diambil terhadap kakitangan terbabit.
Rosyam berkata, dia berharap perkara itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Saya maafkan mereka dan berharap perkara ini tidak akan berulang lagi,” katanya yang akan bertemu pengurusan kedai berkenaan.
hmetro