Translate

06 June 2025

Dua lagi ditahan susulan pergaduhan di Dataran Merdeka

 

Dua lagi ditahan susulan pergaduhan di Dataran Merdeka

BULETIN TV3
Rakaman video yang tular menunjukkan kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki di Dataran Merdeka – Foto tular

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan individu di Dataran Merdeka yang videonya tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam serbuan berasingan, kelmarin.

Katanya, dengan penahanan dua suspek terbaharu itu, seramai tujuh individu kini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Suspek pertama ditahan pada jam 1.40 pagi di hadapan sebuah bangunan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

“Manakala tangkapan kedua dilakukan pada jam 3.15 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek berada di lokasi kejadian dan salah seorang daripada mereka mengaku memukul mangsa dalam kejadian itu.

Katanya, kedua-dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesan sekumpulan individu yang terbabit dalam pergaduhan di Dataran Merdeka sehingga rakaman video insiden berdurasi 23 saat itu tular di laman Facebook.

Video berkenaan memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan ada antara mereka membaling topi keledar, dan kejadian itu turut disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang berada di kawasan terbabit.

Susulan kejadian, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED