Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Baru
Bernama
01/05/2025

Antara kediaman yang terbakar dalam kebakaran di Pintasan Raja Muda Musa 4, Kampung Baru pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Tiga rumah yang menempatkan 12 penghuni musnah dalam kejadian kebakaran di Pintasan Raja Muda Musa 4, Kampung Baru, di sini pagi tadi.
Insiden mengakibatkan dua rumah terbakar sepenuhnya dan satu lagi mengalami kemusnahan 40 peratus, serta tiga motosikal turut rosak.
Seramai 12 orang berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran memusnahkan kediaman mereka.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya mengawal kebakaran pada 10.13 pagi, dan Unit Forensik masih menyiasat punca serta jumlah kerugian.
Bagaimanapun, kesemua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri ketika kejadian.
Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohamad Riduan Akhyar berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 9.39 pagi sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar jentera ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba tiba pada pukul 9.50 pagi dan mendapati tiga rumah separa kekal seluas kira-kira 40 x 70 kaki persegi terlibat dalam kebakaran,"
"Kebakaran itu menyebabkan dua unit kediaman musnah sepenuhnya, manakala satu lagi musnah sebanyak 40 peratus, selain turut memusnahkan tiga motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 10.13 pagi dan Unit Forensik JBPM masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.
-- BERNAMA