PM lancar 'RIBAT', HMLTV pertama keluaran negara
Bernama
20/05/2025

Anwar menyaksikan majlis mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MILDEF dengan syarikat pertahanan utama Indonesia. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan "RIBAT", kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF).
Pelancaran tersebut bersempena acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).
Lebih menarik, RIBAT dinamakan sendiri oleh Perdana Menteri yang membawa nilai simbolik tinggi, serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.
RIBAT merujuk kepada amalan menjaga dan mengawal di persempadanan untuk mempertahankan keselamatan umat. Ia melambangkan kesiapsiagaan, keberanian, dan semangat pengorbanan demi tanah air.
Pada majlis itu, Anwar menyaksikan majlis mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MILDEF dengan syarikat pertahanan utama Indonesia PT PINDAD dan kerjasama tersebut membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.
Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara MILDEF dengan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan.