ASN 2024: Aaron-Wooi Yik Olahragawan Kebangsaan, Nor Farah cipta sejarah
Bernama
13/05/2025

Aaron-Wooi Yik dan Nor Farah Ain diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis ASN 2024 hari ini. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini, hari ini.
Gelaran kali kedua diraih bekas juara dunia selepas tahun 2022 itu, menyaksikan mereka mengetepikan cabaran pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, badang negara daripada sukan angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, atlet wushu Wong Weng Soon dan wakil pencak silat Abdul Latif Maxzakir.
Tahun lepas, pasangan kelima dunia itu mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut, dengan menumpaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, 16-21, 22-20, 21-19, pada saingan Paris 2024.
Jaguh boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah pula dinamakan sebagai Olahragawati Kebangsaan dengan mengatasi saingan Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).
Lebih manis, pemain nombor satu dunia itu, melakar sejarah menjadi atlet boling padang wanita negara pertama menggondol gelaran Olahragawati Kebangsaan.
-- BERNAMA