Translate

19 May 2025

Agensi kerajaan, GLC perlu pulangkan dana tiris - Ketua Audit Negara



Agensi kerajaan, GLC perlu pulangkan dana tiris - Ketua Audit Negara

Bernama

19/05/2025


Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menegaskan bahawa tiada jabatan atau organisasi awam akan terlepas daripada tindakan jika ketirisan dikesan menerusi laporan itu. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun serta 1,875 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikenal pasti terlibat dalam ketirisan dana awam menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) perlu memulangkan semula dana tersebut.

Ketua Audit Negara menggesa agensi kerajaan dan GLC memulangkan dana awam yang bocor seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) akan memperkuat tindakan susulan terhadap ketirisan dan penipuan perakaunan.

Kerjasama pelbagai agensi akan memastikan kawalan dalaman diperkukuh dan akauntabiliti sektor awam ditingkatkan.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menegaskan bahawa tiada jabatan atau organisasi awam akan terlepas daripada tindakan jika ketirisan dikesan menerusi laporan itu.

"Melalui tindakan Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN), kita mengesan beberapa ketirisan yang akan dikutip semula sama ada dalam penyata kewangan negeri mahupun Persekutuan.

"Kita turut mengaudit badan berkanun dan GLC dan jika terdapat ketirisan sama ada dalam bentuk hasil tidak dikutip, tidak diterima atau seumpamanya, tindakan susulan akan diambil," katanya pada Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Wan Suraya berkata kerjasama agensi penguat kuasa dalam KKFP akan memperkukuh peranan Jabatan Audit Negara (JAN) selaras pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang diluluskan tahun lepas.

Beliau berkata penubuhan KKFP akan membantu menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN secara lebih berkesan.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan dengan KKFP memberi ruang untuk perbincangan segera bagi isu-isu yang sedang meningkat dan ketika ini terdapat beberapa isu yang sedang diusahakan bersama," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Wan Suraya berkata KKFP ditubuhkan bagi membangunkan kaedah pengawalan risiko penipuan perakaunan yang lebih berkesan, memperkukuh keupayaan pengesanan awal penipuan serta meningkatkan pematuhan terhadap piawaian perakaunan dan undang-undang berkaitan.

"Penemuan dalam LKAN menuntut tindakan tegas dan penyelarasan. Dalam masa sama, kawalan dalaman perlu diperkukuh, mekanisme penyeliaan ditambah baik dan akauntabiliti ditingkatkan.

"Jika tidak ditangani dengan cekap dan berkesan, kelemahan yang berulang akan berlaku, jadi langkah pembetulan tidak harus hanya tertumpu pada prosedur tetapi turut merangkumi budaya kerja, pemantauan berstruktur serta pembangunan modal insan sektor awam," katanya.

-- BERNAMA

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED