Translate

07 April 2025

Tarif AS beri cabaran dan peluang kepada ASEAN - Amir Hamzah



Tarif AS beri cabaran dan peluang kepada ASEAN - Amir Hamzah

Bernama

07/04/2025


Amir Hamzah berkata negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan daya tahan, meningkatkan kerjasama dan memajukan lagi integrasi ekonomi serantau. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Pengumuman tarif oleh Washington baru-baru ini akan mengubah dinamik perdagangan dan persekitaran operasi yang boleh mempengaruhi naratif pertumbuhan ekonomi, sekali gus memberikan cabaran dan juga peluang kepada ASEAN.

Justeru, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan daya tahan, meningkatkan kerjasama dan memajukan lagi integrasi ekonomi serantau.

"Walaupun kita terus komited terhadap perdagangan antarabangsa, memupuk kerjasama lebih kukuh sesama anggota ASEAN akan membuka jalan kepada komuniti ASEAN yang lebih berdikari dan berdaya tahan," katanya menerusi ucapan perasmian persidangan Meja Bulat Pelabur ASEAN: Memanfaatkan Peluang untuk Memajukan Inisiatif Iklim ASEAN, di sini, hari ini.

Walaupun setakat ini ASEAN berada di landasan untuk menjadi blok keempat terbesar menjelang 2030 dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 diunjur berkembang sebanyak 4.7 peratus melepasi purata global, Amir Hamzah berkata blok itu tidak boleh terlalu leka.

Beliau berkata landskap ekonomi global sedang berkembang pesat dengan jangkaan turun naik ekonomi dan pasaran kewangan yang lebih tinggi.

"Negara-negara ASEAN semakin berdepan dengan situasi sukar akibat perubahan iklim yang mengakibatkan kesan kemusnahan kepada ekonomi dan mata pencarian kita.

"Kita mengalami bencana alam yang lebih kerap dan teruk seperti banjir, kemarau dan taufan, menyebabkan kerugian berbilion-bilion kepada ekonomi setiap tahun. Apabila cabaran berkaitan iklim ini semakin getir, ekonomi ASEAN berisiko kehilangan sehingga 11 peratus daripada KDNKnya menjelang 2100 jika tiada langkah berkesan diambil," katanya.

Persidangan Meja Bulat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan selama empat hari, bermula hari ini.

Mesyuarat persediaan bagi AFMGM ke-12 bermula pagi ini apabila para pegawai kanan mula memuktamadkan dokumen untuk dibincangkan oleh menteri lewat minggu ini, dengan penekanan utama untuk meningkatkan integrasi kewangan serantau.

Dipengerusikan oleh Malaysia, siri mesyuarat itu dimulakan dengan Mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan ASEAN dan Mesyuarat Timbalan Gabenor Bank Pusat ASEAN.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed '52 Terselamat Nahas Empat Kenderaan | BEST FBKL' 4 mins ago
A visitor from Wyoming viewed 'Trump's Gaza plan for 'Riviera of the Middle East'' 11 mins ago
A visitor from Upland viewed 'Negeri Sembilan raih pelaburan RM7.25 bilion tahun' 19 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Siasatan termasuk dakwaan Pamela Ling dilarikan in' 1 hr 43 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Netizen's Bewildered Its A Just a fine for stealin' 2 hrs 49 mins ago
A visitor from Brussels viewed 'Wanita maut digilis lori selepas tercampak dari ke' 3 hrs 21 mins ago
A visitor from Virginia viewed 'Hevel praises teamates' support after scoring on M' 3 hrs 53 mins ago
A visitor from Muar town viewed 'Mi tikus, nama ganjil tapi enak | BEST FBKL' 5 hrs 31 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 6 hrs 16 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nasi Kerabu dan Nasi Dagang Viral MAK 3 Anak Gemuk' 6 hrs 32 mins ago