Translate

09 April 2025

SPPP, Tourism Malaysia bekerjasama tingkat pelancongan pelayaran



SPPP, Tourism Malaysia bekerjasama tingkat pelancongan pelayaran

Bernama

09/04/2025


Pada 25 Mac lepas, Yeoh mengetuai delegasi untuk bertemu Tiong di pejabat menteri di Putrajaya bagi membincangkan promosi industri pelayaran negara. - Foto BERNAMA


GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mengkaji dasar insentif dan melaksanakan perincian yang dapat menggalakkan pembangunan pelancongan pelayaran di negeri itu.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata kerjasama itu termasuk menyokong syarikat pelayaran beroperasi di Pulau Pinang, menambah jumlah jadual perjalanan dan mempromosikan negeri pada persidangan pelayaran antarabangsa.

Beliau berkata mempromosikan pelancongan pelayaran memerlukan usaha pemasaran dan promosi Tourism Malaysia, selain bekerjasama untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi genre pelancongan itu.

"Pulau Pinang mempunyai empat kelebihan utama dalam membangunkan industri pelayaran antarabangsa. Pertama, Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) terletak di kedudukan strategik di pesisir Selat Melaka, menyediakan akses mudah ke Lautan Hindi.

"Kedua, ia disokong rantau segi tiga emas Malaysia,Thailand dan Indonesia, menawarkan sumber pasaran pengguna pelayaran yang besar dan negeri ini mempunyai persekitaran serta pasaran perniagaan berkaitan industri pelayaran antarabangsa," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Yeoh berkata terminal pelayaran itu juga terletak di dalam kawasan tapak warisan dunia UNESCO, mewujudkan kelebihan kepada sokongan pembangunan dan perkhidmatan produk industri pelancongan pelayaran.

Pada 25 Mac lepas, Yeoh mengetuai delegasi untuk bertemu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di pejabat menteri di Putrajaya bagi membincangkan promosi industri pelayaran negara.

Yeoh memaklumkan pada 2024, SPPP aktif mempromosikan pemulihan pasaran pelancongan pelayaran, mengadakan perbincangan mendalam dan kerjasama komprehensif dengan beberapa syarikat pelayaran antarabangsa, dengan usaha itu berjaya menarik kapal persiaran dari Eropah, Amerika Syarikat dan China untuk berlabuh di SPCT, meningkatkan ekonomi Pulau Pinang.

"Pembangunan pelancongan pelayaran akan memasuki fasa baharu. Kami akan terus merebut peluang utama dibentangkan oleh pemulihan pasaran pelancongan pelayaran, menggalakkan integrasi mendalam antara pelancongan pelayaran Pulau Pinang dengan produk serta perkhidmatan pelancongan di sini dan secara aktif berusaha menjadikan negeri sebagai destinasi pelancongan pelayaran berpengaruh pada peringkat antarabangsa," katanya.

Yeoh turut memaklumkan Tiong memberi jaminan kementerian itu akan terus membantu usaha promosi dilakukan SPPP dan bekerjasama mengoptimumkan produk pelancongan pelayaran dan mengembangkan pasaran untuk penumpang pelayaran.

Untuk rekod, Pulau Pinang menerima 573,178 pelancong antarabangsa di perairannya pada 2023, meningkat 30.56 peratus berbanding 439,012 pelancong pada 2022.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Brussels viewed 'Wanita maut digilis lori selepas tercampak dari ke' 9 mins ago
A visitor from Virginia viewed 'Hevel praises teamates' support after scoring on M' 42 mins ago
A visitor from Muar town viewed 'Mi tikus, nama ganjil tapi enak | BEST FBKL' 2 hrs 20 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 3 hrs 4 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Nasi Kerabu dan Nasi Dagang Viral MAK 3 Anak Gemuk' 3 hrs 21 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas, pol' 3 hrs 39 mins ago
A visitor from Muscat viewed 'Sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas, pol' 3 hrs 42 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'MPP nasihat semua ahli terima keputusan Pemilihan ' 3 hrs 51 mins ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'MPP nasihat semua ahli terima keputusan Pemilihan ' 3 hrs 51 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Bekas Panglima Angkatan Tentera dilantik Pengerusi' 4 hrs 19 mins ago