Translate

14 January 2025

Bursa Malaysia dibuka tinggi



Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bernama

14/01/2025


Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.75 mata kepada 1,594.34 daripada 1,585.59 ketika ditutup pada Isnin. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini disebabkan aktiviti memburu saham mewah murah walaupun prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.75 mata kepada 1,594.34 daripada 1,585.59 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka tinggi 7.38 mata kepada 1,592.97.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 244 berbanding 94, dengan 256 kaunter tidak berubah, 1,765 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 196.98 juta unit bernilai RM103.95 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila peniaga memindahkan pegangan mereka dalam saham teknologi kepada sektor lain terutamanya industri tenaga dan memantau laporan indeks harga pengguna AS esok.

Sementara itu, hasil 10 tahun AS naik lebih tinggi kepada 4.79 peratus, katanya.

"Pada skala yang lebih luas, pasaran Asia merosot apabila prospek penurunan kadar faedah di AS berkurangan berikutan data pekerjaan yang kukuh.

"Susulan penjualan baru-baru ini, pelabur sedang menyusun semula strategi mereka dan kekal di berada di luar pasaran menjelang pelaksanaan Tarif oleh Trump yang mungkin berlaku. Kami percaya ini memberikan peluang yang baik untuk memburu saham murah," katanya kepada Bernama.

Thong berkata pentadibiran penggal kedua Trump sebagai Presiden AS mungkin tidak begitu tegas kerana AS berisiko kehilangan hubungan ekonomi daripada seluruh dunia.

Untuk hari ini, beliau menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,580-1,595.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM10.16, CIMB menambah dua sen kepada RM8.12, IHH meningkat sembilan sen kepada RM7.19, bagaimanapun Public Bank tidak berubah pada RM4.45 dan Tenaga jatuh empat sen kepada RM13.86.

Bagi saham aktif, Velocity Capital, Industronics, Swift Energy dan Ekovest menokok 0.5 sen masing-masing kepada 8.5 sen, empat sen, 38 sen dan 35 sen, TWL Holdings jatuh setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 64.21 mata kepada 12,243.57, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 70.46 mata kepada 12,181.32, Indeks FBMT 100 meningkat 63.71 mata kepada 11,928.36, Indeks FBM 70 menokok 91.51 mata kepada 18,399.95 manakala Indeks FBM ACE menambah 9.42 mata kepada 5,255.45.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 4.91 mata kepada 840.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 50.76 mata kepada 18,883.91, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.74 mata kepada 169.20 dan manakala Indeks Perladangan menokok 34.26 mata kepada 7,477.21.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED