Translate

20 November 2024

Insiden renjatan elektrik: Penggunaan semua soket elektrik tiga pin dalam bas dihentikan - MOT



Insiden renjatan elektrik: Penggunaan semua soket elektrik tiga pin dalam bas dihentikan - MOT

Astro Awani

20/11/2024


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media bersempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghentikan penggunaan semua soket elektrik tiga pin dalam bas susulan kematian seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik, baru-baru ini.

Penggunaan Soket Dihentikan: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghentikan penggunaan semua soket elektrik tiga pin dalam bas selepas insiden kematian seorang remaja akibat renjatan elektrik.

Langkah Penguatkuasaan APAD: APAD mewajibkan syarikat pengendali bas mengemukakan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Garis Panduan Pendawaian: Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan garis panduan pendawaian elektrik tambahan baharu untuk semua bas yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata arahan serta-merta yang dikeluarkan pada 6 November lalu berkuatkuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan oleh kementeriannya.

"Kita pun kena lihat juga sebab takut dari segi pendawaian, bukan pada soket atau USB. Mangsa menggunakan USB. Dia (mangsa) bukan guna (soket) tiga pin, tetapi USB dipasang bersama dengan (soket) tiga pin," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.

Mengulas lanjut, Loke berkata APAD juga mengambil langkah segera dengan mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada untuk mengemukakan keputusan laporan atau sijil berkaitan pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Selain itu, ujar beliau pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan seperti kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan perlu mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

"Seterusnya, bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan keselamatan pengguna dan mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan, Kementerian Pengangkutan telah menyusun langkah penambahbaikan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang lebih ketat dilaksanakan, termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aspek pendawaian elektrik dan kelengkapan berkaitan dalam kenderaan," katanya lagi.

Loke dalam masa sama memaklumkan garis panduan menyeluruh berhubung pendawaian elektrik dalam bas dijangka siap dibangunkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Terdahulu dalam sidang media sama, Loke berkata pendawaian elektrik pada sebuah bas ekspres didapati tidak teratur menjadi punca seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Terminal Penang Sentral pada 2 November lalu.

Dapatan itu diperoleh hasil siasatan pasukan Petugas Khas di bawah Kementerian Pengangkutan, yang dianggotai oleh pagawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), APAD, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM); dan Puspakom.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED