Translate

02 November 2023

KKD pertimbang wajibkan penyedia perkhidmatan media sosial daftar dengan MCMC



KKD pertimbang wajibkan penyedia perkhidmatan media sosial daftar dengan MCMC

Bernama

November 1, 2023
Fahmi berkata, perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial berkenaan memahami dan mematuhi aspek perundangan negara. - Bernama

KKD pertimbang wajibkan penyedia perkhidmatan media sosial daftar dengan MCMC

Fahmi berkata, perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial berkenaan memahami dan mematuhi aspek perundangan negara. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata perkara itu dilihat wajar dilaksanakan bagi memastikan semua platform media sosial berkenaan memahami dan mematuhi aspek perundangan negara.

"...sekarang ini tak ada sebarang pendaftaran nak beroperasi di Malaysia, jadi bila berdaftar dan beroperasi di sini, nak berniaga di sini, ada undang-undang yang wajib dipatuhi, patuh arahan dan saya kira ini perlu diselesaikan segera," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.







Menjawab celahan R. Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai apakah langkah yang diambil kementerian dalam mengawal selia ekosistem aplikasi TikTok, Fahmi berkata KKD sentiasa meneliti setiap aspek dalam mencari langkah kawalan paling sesuai berdasarkan kepentingan negara.

"Di negara lain, mereka ada pelbagai undang-undang dan tangani isu berkait TikTok ini dengan cara berbeza, di Amerika Syarikat penjawat awam dilarang memuat turun aplikasi TikTok di peranti rasmi mereka, di India sudah empat tahun menyekat penggunaan TikTok dan di Indonesia pula melarang TikTok Shop.

"Bagi Malaysia kita ada keadaan yang tertentu, ada undang-undang tersendiri dan cabarannya unik kepada negara kita, jadi KKD teliti semua dan adakan sesi libat urus termasuk dengan kementerian lain dalam mencari kaedah dan tindakan paling sesuai untuk diambil," katanya.

Dalam menangani isu berkaitan perjudian dalam talian khususnya di platform META iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp, Fahmi berkata KKD melalui MCMC telah berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada META bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.

"Kerajaan mahupun KKD masih sangat tidak berpuas hati dengan tahap kerjasama META yang masih sangat tidak memadai, oleh itu, KKD melalui MCMC telah berbincang bagi mendapatkan kerjasama penuh daripada META.

"Antara kerjasama yang diminta adalah komitmen pelaksanaan tindakan penurunan kandungan dalam tempoh masa yang pantas bukan berhari-hari, tetapi dalam masa beberapa jam terutama bagi judi dalam talian bagi setiap permohonan yang diterima daripada pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Sementara itu, Fahmi mengesyorkan kesatuan bagi para pelakon diwujudkan untuk memperjuangkan kepentingan berkaitan penggajian, kemudahan perubatan, kebajikan dan kesejahteraan penggiat industri perfileman.

PARLIMEN-GULUNG (MEDIA SOSIAL) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau berkata pada masa ini, terdapat lebih 50 persatuan perfileman di Malaysia namun sehingga kini, tiada kesatuan yang terdiri daripada golongan pelakon didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Di peringkat KKD dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), templat perjanjian perkhidmatan produksi yang standard sedang dirangka untuk rujukan dan kegunaan syarikat produksi filem tempatan yang mempunyai lesen aktiviti FINAS.

"Inisiatif ini bertujuan untuk menjamin perlindungan kepada pelakon baharu dan veteran dan pekerja filem tempatan dari segi bayaran gaji, elaun, perlindungan insuran, PERKESO, kemudahan perubatan, penginapan, keselamatan dan makan minum sepanjang tempoh mereka terlibat dengan produksi perfileman di Malaysia," katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata ia dijangka dibentang di Parlimen pada mesyuarat pertama atau kedua tahun depan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED