Lantikan Nazri sudah dibuat setahun lepas - Anwar
Februari 11, 2023
Lantikan Nazri sudah dibuat setahun lepas - Anwar
Kata Anwar, keputusan melantik Nazri dibuat awal tahun lepas dan pihaknya tidak melihat alasan kukuh untuk membatalkannya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melihat adanya masalah dalam pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.
Kata Anwar, keputusan melantik Nazri dibuat awal tahun lepas dan pihaknya tidak melihat alasan kukuh untuk membatalkannya.
“Kadang-kadang orang tegur dalam terburu-buru. Lantikan itu dibuat setahun yang lalu, mengambil masa enam bulan untuk Amerika Syarikat mengesahkan.
“Setelah disahkan saya ambil alih kerajaan. Melainkan jika ada hujah keras yang menentang (pelantikan Nazri), kerajaan sekarang hanya mengesahkan sahaja.
"Saya hanya mohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tangguh sedikit tentang watikah supaya saya susun dulu jemaah menteri. Saya harus maklumkan kepada jemaah menteri.
"Nak tegur boleh, tapi tanya dulu, jangan terburu-buru katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Khamis lalu, Nazri yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas dilantik sebagai duta Malaysia ke AS.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Nazri dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.
ASTRO AWANI